'Kalau tak puas hati, buat aduan kepada SPRM' - MB Negeri Sembilan

SEREMBAN - Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan bahawa beliau terbuka terhadap sebarang siasatan berhubung isu lawatan pelaburan ke luar negeri yang dipertikaikan segelintir pihak.
Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa bersedia memberi kerjasama penuh kepada mana-mana agensi penguatkuasaan demi memastikan ketelusan dalam pentadbiran.
Menurutnya, orang ramai atau mana-mana pihak yang tidak berpuas hati mengenainya boleh membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Ia terpulang, saya tiada masalah. Boleh buat aduan kalau tidak puas hati. SPRM ada, boleh siasat.
“Buat apa nak buat dosa? Tak payah. Kalau tak puas hati, buat aduan kepada SPRM. Kalau saya takut, maknanya saya tidak jujur,” katanya mengulas berkenaan perkara itu.
Beliau ditemui pada Majlis Perasmian Tapak Pusat Beli-Belah Baharu Aeon Seremban 2 pada Selasa.
Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard menerusi hantaran di Facebook miliknya baru-baru ini mempertikaikan lawatan ke Perancis dan Netherlands yang didakwa sebagai pembaziran duit kerajaan Negeri Sembilan.
Lawatan ke Eropah atas kapasiti pelaburan dan perindustrian itu dikatakan membawa Exco Pendidikan, Datuk Ismail Lasim yang dikatakan tiada kaitan dengan portfolio berkenaan.
Malah Chegubard turut mendakwa lawatan itu turut disertai oleh keluarga masing-masing.
Dalam pada itu Aminuddin berkata, lawatan ke beberapa negara luar itu telah membuka beberapa peluang pelaburan masuk ke negeri tersebut antaranya membabitkan kilang Pembaikan dan Baik Pulih (MRO) brek di Nilai dan semikonduktor di Senawang.
Pada masa sama turut melawat projek air bawah tanah yang boleh dimanfaatkan ketika persiapan musim panas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

