'Tunjuk di mana jual negara'

PUTRAJAYA - Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Ismail Yusop menolak tuduhan liar bahawa kerajaan 'menjual negara' menerusi pemeteraian Perjanjian Perdagangan Timbal Balas yang ditandatangani antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS).
Tegas beliau, dakwaan tersebut hanyalah bersifat persepsi politik semata-mata.
"Kalau kata kita jual negara, tunjuk di mana. Semua persetujuan adalah muamalat yang adil,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Sinar Harian di pejabatnya, baru-baru ini.
Menurutnya, pendekatan Malaysia dalam rundingan antarabangsa adalah berlandaskan prinsip menang-menang untuk memastikan kedua-dua pihak mendapat manfaat yang seimbang.
“Tidak boleh berat sebelah. Kita mesti lihat kepentingan negara dan rakyat,” ujarnya.
Beliau memberi contoh eksport utama negara seperti kelapa sawit yang dikecualikan sepenuhnya daripada tarif yang dimeterai dalam perjanjian dengan AS.
Menurutnya, ini menunjukkan Malaysia berjaya mengekalkan kepentingan ekonomi strategik tanpa menjejaskan daya saing eksport.
“Semua sektor penting untuk ekonomi Malaysia termasuk kelapa sawit tidak terjejas dengan tarif baharu.
"Ini bukti bahawa persetujuan ini bukan soal menjual negara, tetapi menjaga kepentingan nasional,” katanya.
Pemeteraian perjanjian antara Malaysia dan AS yang berlangsung di Sidang Kemuncak ASEAN Kuala Lumpur minggu lalu menyaksikan 1,711 produk eksport negara ini ke AS bernilai AS$5.2 bilion akan menikmati kadar tarif yang lebih rendah daripada 19 peratus.
Ia termasuk minyak sawit, getah, koko serta beberapa komponen farmaseutikal dan peralatan aeroangkasa.
Kadar tarif yang lebih rendah itu akan berkuat kuasa dalam tempoh 60 hari selepas kedua-dua negara bertukar dokumen sebagai sebahagian daripada proses perundangan.
Kuala Lumpur dan Washington dalam kenyataan bersama memaklumkan, AS telah mengenal pasti produk daripada senarai dalam Lampiran III Perintah Eksekutif 14346 bertarikh 5 September 2025 mengenai Potential Tariff Adjustments for Aligned Partners untuk mendapat kadar tarif timbal balas sifar peratus.
AS juga komited untuk mengekalkan tarif timbal balas sebanyak 19 peratus yang kali pertama digariskan dalam Perintah Eksekutif 14257 bertarikh 2 April 2025 yang telah dipinda, ke atas barangan dari Malaysia.
Dalam pada itu, Ismail menjelaskan bahawa rundingan dilakukan secara teliti dengan mengambil kira implikasi ekonomi jangka panjang.
Beliau menekankan bahawa rakyat perlu memahami bahawa setiap perjanjian antarabangsa bukan sekadar dokumen formal tetapi merupakan strategi ekonomi dan diplomasi yang memerlukan pertimbangan matang.
“Persetujuan ini bukan dibuat secara terburu-buru. Ia melalui proses rundingan yang rapi dan mengutamakan kepentingan Malaysia,” katanya sambil menambah bahawa pihak kerajaan sentiasa memastikan ketelusan dalam komunikasi dasar kepada rakyat.
Beliau turut menafikan dakwaan bahawa rundingan memberi kelebihan kepada pihak asing.
“Semua pihak termasuk Amerika Syarikat bersetuju bahawa persetujuan ini adil. Tidak ada pihak yang diuntungkan secara eksklusif,” katanya.
Ismail berkata, pendekatan Malaysia adalah proaktif dan inklusif, bertujuan memastikan negara kekal relevan dalam arena perdagangan global.
Beliau berkata, persepsi negatif tentang ‘menjual negara’ timbul kerana kekurangan pemahaman tentang bagaimana rundingan antarabangsa dijalankan.
“Orang ramai hanya melihat keputusan akhir tetapi tidak nampak proses di belakang tabir,” ujarnya.
Beliau juga menegaskan bahawa setiap persetujuan dijalankan mengikut norma antarabangsa dengan menghormati undang-undang dan kepentingan kedua-dua negara.
“Ini bukan soal politik domestik tetapi muamalat antarabangsa yang profesional,” kata beliau yang turut menasihati rakyat agar menilai fakta secara menyeluruh dan mengelakkan spekulasi yang boleh menjejaskan keyakinan terhadap kepimpinan negara.
Beliau menekankan bahawa kejayaan Malaysia dalam rundingan antarabangsa adalah hasil daripada strategi diplomasi yang matang dan pemahaman mendalam terhadap kepentingan ekonomi negara.
“Rakyat harus faham, setiap keputusan yang dibuat adalah untuk memastikan Malaysia terus kuat, berdaya saing dan dihormati di peringkat global,” katanya.
Ringkasan AI
- Ketua Pengarah J-KOM, Datuk Ismail Yusop menafikan tuduhan kerajaan 'menjual negara' melalui pemeteraian Perjanjian Perdagangan Timbal Balas antara Malaysia dan Amerika Syarikat
- Menurut beliau, dakwaan tersebut berdasarkan persepsi politik dan semua perjanjian adalah adil
- Malaysia menggunakan prinsip menang-menang dalam rundingan antarabangsa untuk kepentingan bersama
- Eksport utama seperti kelapa sawit dikecualikan sepenuhnya dari tarif dalam perjanjian dengan AS, menunjukkan kepentingan ekonomi negara diutamakan
- Persetujuan antara Malaysia dan AS membolehkan 1,711 produk eksport Malaysia menikmati kadar tarif lebih rendah, menunjukkan proses rundingan yang matang dan ketelusan komunikasi dasar kerajaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

