Malaysia kembali sebagai kuasa lunak dunia

Ismail - Foto: SINAR HARIAN/ MOHD HALIM ABDUL WAHID
Ismail - Foto: SINAR HARIAN/ MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia kini berada di landasan tepat untuk muncul semula sebagai kuasa lunak dunia dengan memanfaatkan sejarah, budaya dan nilai tempatan sebagai asas diplomasi moden yang berkesan.

Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Ismail Yusop berkata, negara pernah membuktikan peranan pentingnya sebagai pusat perdagangan dan diplomasi global ketika era Empayar Kesultanan Melayu Melaka, di mana pedagang dari timur dan barat berkunjung dan membina jaringan perdagangan yang kukuh.

“Kalau tanya saya, Empayar Kesultanan Melayu Melaka itu adalah satu bukti yang telah menunjukkan bahawa kita pernah jadi soft power dunia.

“Orang timur dan barat datang, kita mengalu-alukan,” katanya.

Ujar beliau, salah satu kejayaan paling nyata dalam konteks ASEAN adalah pengiktirafan antarabangsa terhadap kepimpinan Malaysia.

“Perhimpunan ini menyaksikan kemasukan Timor-Leste sebagai negara anggota serta kehadiran pemimpin dunia seperti Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, Perdana Menteri China Li Qiang, dan pemimpin dari Brazil, Kanada, Australia, New Zealand serta negara Timur Tengah.

“Kita melihat ini sebagai satu pengiktirafan antarabangsa terhadap kepimpinan Malaysia dalam konteks serantau dan global,” ujarnya.

Ismail menekankan pengiktirafan itu bukan sekadar simbolik, tetapi mencerminkan kestabilan politik Malaysia dan kesediaan negara memperkukuhkan kerjasama serantau.

Jelasnya, ASEAN menekankan prinsip tiada campur tangan antara negara anggota dan menjadikan rantau ini bebas serta berkecuali.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, dalam konteks itu, Malaysia memainkan peranan penting dalam mendamaikan konflik antara Kemboja dan Thailand, menunjukkan keupayaan negara mengendalikan isu geopolitik secara diplomatik dan inklusif.

“Malaysia menggunakan pendekatan engagement yang inklusif, bukannya berkonfrontasi. Fokus adalah mencari titik temu untuk kerjasama, contohnya pembangunan zon ekonomi di kawasan perbatasan dengan Thailand yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

“Kalau kita bicarakan tentang wilayah, tentang geopolitik semata-mata, sukar untuk cari jalan penyelesaian. Pendekatan inklusif membolehkan kita mengambil manfaat daripada situasi sedia ada,” jelasnya.

Menyentuh mengenai kehadiran Trump ke negara ini walaupun mendapat tentangan sesetengah pihak, Ismail berkata, Malaysia mengamalkan soft diplomacy untuk menyentuh hati tetamu dengan budaya, adat dan tatasusila tempatan.

Beliau turut menekankan bahawa Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri bukan sekadar pemimpin, tetapi seorang negarawan yang membawa Malaysia ke tahap penghormatan antarabangsa.

Ringkasan AI

  • Malaysia berada di landasan tepat untuk muncul sebagai kuasa lunak dunia berdasarkan sejarah, budaya, dan nilai tempatannya
  • Empayar Kesultanan Melayu Melaka merupakan bukti peranan Malaysia sebagai pusat perdagangan dan diplomasi global pada zaman itu
  • Pengiktirafan antarabangsa terhadap kepimpinan Malaysia dalam ASEAN ditekankan dengan kehadiran pemimpin dunia di perhimpunan
  • Malaysia memainkan peranan penting dalam mendamaikan konflik antara Kemboja dan Thailand dengan pendekatan yang inklusif dan bukan konfrontasi
  • Kehadiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump di Malaysia menunjukkan amalan diplomasi lunak negara melalui budaya, adat, dan tatasusila tempatan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!