[VIDEO] Banjir Trong: JAIPk teliti isu kubur terjejas, mayat terkeluar dari keranda

A
A
A

IPOH - Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) sedang meneliti isu melibatkan tanah perkuburan di Trong yang dilanda banjir hingga menyebabkan beberapa mayat dilaporkan terkeluar daripada keranda baru-baru ini.

Timbalan Pengarah JAIPk, Mohd Kamal Mohamad Noor berkata, perkara itu kini dalam perhatian jabatan berkenaan yang akan mengurus serta menyelia tindakan lanjut bersama Pejabat Agama Islam Daerah terlibat.

Tanah perkuburan di Trong yang dilanda banjir hingga menyebabkan beberapa mayat dilaporkan terkeluar daripada keranda baru-baru ini.
Tanah perkuburan di Trong yang dilanda banjir hingga menyebabkan beberapa mayat dilaporkan terkeluar daripada keranda baru-baru ini.

“Kita sedang meneliti perkara itu dan akan melaksanakan tindakan sewajarnya bersama Pejabat Agama Islam Daerah.

“Bagaimanapun, sebarang tindakan rasmi akan dibuat selepas mendapat arahan daripada Pengarah JAIPk,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Himpunan Anak-Anak Gayong Serantau dan Semalaysia Edisi Ketiga di Dewan Serbaguna Masjid Muhammadiah, Taman Tasek Jaya di sini pada Ahad.

Hadir sama, Waris Amanah Mahaguru Pertubuhan Seni Gayong Serantau Malaysia (PSGSM), Prof Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain dan Yang Dipertua PSGSM Perak, Hasnul Fairuz Hushin Amri.

Mohd Kamal berkata, bagi isu berkaitan batu nisan atau kesilapan nama di tanah perkuburan pula, JAIPk akan merujuk perkara tersebut kepada Jabatan Mufti Negeri Perak untuk mendapatkan pandangan serta nasihat lanjut.

Artikel Berkaitan:

“Hal berkaitan batu nisan bukan bidang JAIPk untuk memberi ulasan terus. Biasanya kita akan rujuk kepada pihak berkenaan, khususnya Jabatan Mufti,” katanya.

Pada 24 Oktober lalu, Sinar Harian melaporkan bahawa banjir yang melanda daerah Larut, Matang dan Selama pada Khamis bukan sahaja menenggelamkan kawasan penempatan penduduk, malah turut menjejaskan Tanah Perkuburan Islam Kampung Toh Johan, Kuala Trong, Bukit Gantang.

Penduduk memaklumkan bahawa terdapat beberapa kubur dilaporkan terhakis serta keranda kayu terkeluar hingga mengakibatkan jenazah di dalamnya hanyut dibawa arus deras.

Sementara itu, mengulas mengenai pembukaan gelanggang silat di masjid, beliau menjelaskan bahawa JAIPk tidak menghalang mana-mana pertubuhan silat untuk berbuat demikian selagi aktiviti tersebut tidak bercanggah dengan ajaran Islam.

Katanya, usaha itu juga selaras dengan titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah serta dasar Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) bagi memperkasakan warisan Melayu dan mengimarahkan masjid.

“JAIPk sebagai agensi pelaksana menjunjung titah Tuanku yang mahu seni warisan bangsa dijalankan dan menjadi sebahagian daripada aktiviti masjid.

“Kini, sudah ada beberapa gelanggang silat dibuka termasuk di Masjid Muhammadiah dan Masjid Muhammad Al-Fateh, Taman Jati,” katanya.

Menurutnya lagi, pihak jawatankuasa masjid boleh mengemukakan permohonan pembukaan gelanggang silat melalui Bahagian Pengurusan Masjid JAIPk untuk diselaraskan secara rasmi.

Mohd Kamal turut memaklumkan bahawa MAIPk dan JAIPk akan bekerjasama melaksanakan program Marhaban dan Berzanji peringkat negeri pada Disember ini sebagai usaha memperkukuh identiti serta budaya Melayu-Islam di Perak.

Ringkasan AI

  • JAIPk sedang meneliti isu perkuburan di Trong yang dilanda banjir menyebabkan mayat terkeluar dari keranda
  • Tindakan lanjut akan diurus bersama Pejabat Agama Islam Daerah setelah mendapat arahan dari Pengarah JAIPk
  • Masalah batu nisan dan kesilapan nama di perkuburan akan dirujuk kepada Jabatan Mufti Negeri Perak untuk nasihat
  • JAIPk tidak menghalang pembukaan gelanggang silat di masjid selagi aktiviti itu tidak bercanggah dengan ajaran Islam
  • Program Marhaban dan Berzanji akan dilaksanakan pada Disember sebagai usaha memperkukuh identiti Melayu-Islam di Perak

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!