Lima kes tetak dan satu kelar, apa sudah jadi?

DALAM tempoh dua minggu, negara digemparkan dengan siri insiden ngeri - lima kes tetak dan satu kes kelar, hingga ada yang maut, ada pula parah, dan lebih menyayat hati, lima daripadanya dilakukan oleh ahli keluarga sendiri.
Bukan lagi orang luar, sebaliknya suami menetak isteri, abang menyerang adik, adik ipar memenggal kepala abang ipar, bapa saudara mengasari anak saudara.
Apa yang sedang berlaku dalam masyarakat kita?
Tragedi demi tragedi ini bukan sekadar angka di atas kertas, tetapi cerminan jiwa yang makin rapuh dan nilai kekeluargaan yang kian menipis.
Dalam kejadian terbaru di Kampung Pida 3, Jerlun, seorang lelaki maut dengan kepala terputus selepas dipercayai ditetak adik iparnya sendiri dalam kejadian malam Jumaat.
Sebelumnya, di Tumpat, seorang suami maut selepas ditetak bertubi-tubi oleh sepupu isterinya hingga tangan dan kaki putus, manakala di Pasir Puteh, bapa saudara angkat pula menetak anak saudaranya sendiri.
Di Sibu, seorang isteri dan anak perempuannya cedera selepas diserang suami sendiri, sementara di Batu Pahat, kanak-kanak berusia sembilan tahun pula mencederakan adik lelakinya.
Tragedi demi tragedi itu memperlihatkan corak yang membimbangkan iaitu apabila emosi tidak terkawal, dendam, tekanan hidup ataupun masalah kesihatan menjadikan keluarga sendiri sebagai mangsa.
Menurut Marliana Awang, 39, isteri kepada Nasir Md Nanyan, 45, yang maut dalam kejadian tragis di Kampung Pida 3, Jerlun, suspek yang juga adik ketiganya, dipercayai mengalami gangguan perasaan dan pernah menunjukkan tanda-tanda halusinasi serta kemurungan.
Kanak-kanak berusia sembilan tahun yang bertindak mencederakan adik lelakinya di Batu Pahat juga dipercayai mengalami halusinasi pada waktu malam akibat pengaruh permainan video.
Lebih menyedihkan, setiap kali insiden seperti ini berlaku, keluarga mangsa terperangkap dalam dilema.
Hendak marah, pelaku darah daging sendiri. Hendak maafkan, nyawa yang pergi tak akan kembali.
Ibarat pepatah, “luah mati mak, telan mati bapa”, mereka menanggung beban antara kasih dan dendam, antara marah dan reda.
Lebih tragis, trauma yang dialami tidak hilang dalam sehari, luka di hati kekal, apatah lagi jika pembunuh itu insan yang dulu sebantal dan sepinggan.
Keganasan rumah tangga dan jenayah dalam keluarga kini bukan lagi kes terpencil. Ia petanda jelas bahawa tekanan hidup, kesihatan mental, dan komunikasi yang terputus sedang meracuni masyarakat.
Masyarakat perlu peka terhadap tanda-tanda awal kemurungan, perubahan emosi, tingkah laku agresif, atau ancaman yang diluahkan di media sosial.
Ini kerana apabila kasih tidak dijaga dan emosi menguasai akal, rumah bukan lagi tempat berlindung, tetapi menjadi lokasi tragedi.
Ringkasan AI
- Dalam dua minggu negara digemparkan dengan siri insiden ngeri melibatkan keluarga sebagai pelaku dan mangsa
- Tragedi ini mencerminkan jiwa yang rapuh dan nilai kekeluargaan yang menipis
- Keganasan ini dikaitkan dengan masalah emosi tidak terkawal, dendam, tekanan hidup, dan masalah kesihatan mental
- Kes kesilapan pengaruh luar seperti permainan video juga dilaporkan mempengaruhi perilaku agresif dalam kalangan kanak-kanak
- Masyarakat diingatkan untuk peka terhadap tanda-tanda awal perubahan emosi dan kesihatan mental serta pentingnya komunikasi dalam keluarga
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

