Kerajaan akan tambah baik infrastruktur rel, kurangkan kargo atas jalan raya

Anthony Loke (kanan) ketika sidang media selepas Mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan (NLTF) Bilangan 2/2025, di sebuah hotel, pada Khamis. Turut kelihatan, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan. Foto Bernama
Anthony Loke (kanan) ketika sidang media selepas Mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan (NLTF) Bilangan 2/2025, di sebuah hotel, pada Khamis. Turut kelihatan, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan bakal melaksanakan beberapa penambahbaikan kepada infrastruktur rel negara bagi mengalihkan pengangkutan fret (kargo) dari jalan raya ke rel.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, buat masa ini hanya satu peratus fret di Malaysia diangkut menggunakan mod pengangkutan rel dan kerajaan mensasarkan sekurang-kurang 10 peratus akan diangkut melalui rel dengan penambahbaikan yang dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia ke-13.

Beliau berkata, inisiatif itu dilaksanakan bagi menangani kesesakan lalu lintas, mengurangkan kadar kemalangan melibatkan kenderaan berat serta menyokong agenda kelestarian alam sekitar negara.

"Inisiatif ini menyasarkan untuk mewujudkan satu ekosistem logistik yang lebih cekap, selamat dan mampan… Selain daripada mengurangkan kesesakan di lebuh raya utama, inisiatif ini juga menjadikan kos menjalankan perniagaan oleh pemain industri logistik semakin kompetitif melalui opsyen yang tersedia.

"Pengangkutan rel juga terbukti lebih mesra alam dengan jejak karbon yang lebih rendah berbanding pengangkutan jalan raya,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan di sini pada Khamis.

Bagi merealisasikan inisiatif itu, Loke berkata, antara projek yang akan dilaksanakan termasuk pemanjangan landasan sisian di Terminal Kontena Butterworth Utara, menaik taraf landasan Pasir Mas-Rantau Panjang serta depoh Padang Besar.

Ketersambungan awal dan akhir turut akan diperkasa bagi memastikan kelancaran proses pengangkutan fret dari stesen kereta api ke destinasi akhir.

"Antaranya menambah bilangan lokomotif dan gerabak melalui model pajakan, membangunkan terminal hab kargo baharu dan membina laluan sambungan ke kawasan strategik bagi menampung keperluan sektor logistik,” kata Loke, yang menambah inisiatif itu mendapat sokongan persatuan-persatuan syarikat pengangkut.

Dalam pada itu, Loke berkata, pihaknya bersama Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) akan menubuhkan satu kumpulan kerja khas bagi menyelaras semula dasar dan melaksanakan tindakan bagi menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) hab kargo udara dan pemunggahan serantau.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kumpulan itu akan menangani beberapa kelemahan yang dikenal pasti sebagai punca proses pemeriksaan kastam agak perlahan dan kapasiti kargo udara di KLIA rendah, yang membuatkan pemain industri lebih memilih untuk melaksanakan perniagaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura.

"KLIA ini cukup besar tetapi mengapa kita hanya pegang satu pertiga daripada jumlah kargo Changi?

"Kami kenal pasti ada beberapa kelemahan dari segi peraturan, pelepasan kastam kita lebih lambat daripada di Singapura, menjadikan masa diambil untuk pemunggahan dan pemindahan kargo juga lebih lama,” katanya. - Bernama

kargo, fret, KLIA, rel, RMK-13, Anthony Loke

Ringkasan AI

  • Kerajaan Malaysia akan meningkatkan infrastruktur rel untuk memindahkan pengangkutan kargo dari jalan raya ke rel
  • Sasaran kerajaan adalah untuk mengangkut sekurang-kurangnya 10 peratus kargo melalui rel di bawah Rancangan Malaysia ke-13
  • Inisiatif ini bertujuan untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas, kemalangan yang melibatkan kenderaan berat, dan mendukung kelestarian alam sekitar
  • Antara projek yang akan dilaksanakan adalah pemanjangan landasan, menaik taraf landasan, dan pembinaan laluan sambungan ke kawasan strategik
  • Kerjasama dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) untuk menjadikan KLIA sebagai hab kargo udara dan pemunggahan serantau

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!