TH laksana kajian menyeluruh tambah baik operasi haji tahun depan

Mohd Na'im menyambut ketibaan kumpulan pertama jemaah haji Muassasah dari Malaysia di KLIA.
Mohd Na'im menyambut ketibaan kumpulan pertama jemaah haji Muassasah dari Malaysia di KLIA.
A
A
A

SEPANG - Tabung Haji (TH) akan melaksanakan kajian dan analisis menyeluruh bagi menambah baik aspek operasi haji tahun 2026, khususnya dari sudut kesihatan jemaah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, kajian tersebut akan memberi tumpuan kepada faktor-faktor yang menyumbang kepada kematian jemaah haji Malaysia tahun ini.

Beliau berkata, langkah berkenaan amat penting berikutan sebahagian besar daripada 14 jemaah haji Malaysia yang meninggal dunia pada tahun ini adalah berusia lebih 60 tahun, dengan punca kematian berkaitan masalah jantung.

“Justeru itu, saya telah minta kepada Tabung Haji, khususnya bahagian perubatan untuk membuat kajian dan analisis.

"Kalau kita nak bandingkan dengan negara lain, jumlah kematian kita ini masih kecil tetapi kita tetap perlu ambil serius untuk tambah baik persediaan bagi operasi haji tahun depan,” katanya kepada media pada Sabtu.

Mohd Na'im berkata demikian selepas menyambut ketibaan seramai 283 orang kumpulan pertama jemaah haji Muassasah dari Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini dengan menaiki pesawat sewa khas MH251 pada jam 8.50 malam Sabtu.

Ketibaan jemaah berkenaan turut disambut sendiri oleh Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain serta Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad.

Kumpulan itu adalah sebahagian 31,600 jemaah haji yang dijangka pulang ke tanah air menerusi 100 penerbangan sewa khas menerusi Malaysia Airlines dan Saudi Airlines dari 14 Jun hingga 10 Julai ini.

Mohd Na'im menyantuni kumpulan pertama jemaah haji Muassasah dari Malaysia di KLIA.
Mohd Na'im menyantuni kumpulan pertama jemaah haji Muassasah dari Malaysia di KLIA.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohd Na'im mengesahkan TH sudah membantu membuat badal haji kepada semua jemaah yang meninggal dunia sebelum dapat menyempurnakan rukun Islam kelima terbabit.

Kesemua 14 jemaah Malaysia dilaporkan meninggal dunia ketika mengerjakan ibadah haji tahun ini.

Mohd Na’im juga menjelaskan bahawa TH telah menjalankan tanggungjawab dengan baik termasuk menguruskan jenazah, memaklumkan kepada waris serta menyampaikan manfaat takaful khairat kematian yang didaftarkan oleh para pendeposit.

“Saya tengok sendiri sambutan terhadap takaful khairat Tabung Haji sangat baik.

"Ramai yang sudah mendaftar dan inisiatif ini sangat membantu keluarga jemaah,” tambah beliau.

Beliau turut menyentuh cabaran cuaca ekstrem di Tanah Suci yang menyaksikan suhu mencecah sehingga 50 darjah Celsius ketika wuquf di Arafah.

"Keadaan ini dijangka menjadi antara punca utama tekanan kepada kesihatan jemaah, terutamanya golongan warga emas," katanya.

Bagaimanapun, beliau memuji tahap disiplin jemaah Malaysia yang mematuhi arahan pihak berkuasa Arab Saudi untuk kekal dalam khemah antara jam 10 pagi hingga 4 petang bagi mengelakkan risiko strok haba dan komplikasi kesihatan lain.

“Kebanyakan jemaah haji Malaysia sangat berdisiplin dan sentiasa mengikut arahan supaya mereka duduk dalam khemah waktu panas melampau sekaligus dapat mengurangkan risiko strok haba dan masalah lain,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!