Kerajaan sasar 60 peratus penyertaan tenaga kerja wanita menjelang 2033

Hui Ying (depan, dua dari kanan) bergambar bersama tetamu jemputan sempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 Peringkat Negeri Pulau Pinang di Auditorium Majilis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), di sini pada Rabu
Hui Ying (depan, dua dari kanan) bergambar bersama tetamu jemputan sempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 Peringkat Negeri Pulau Pinang di Auditorium Majilis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), di sini pada Rabu
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Kerajaan menyasarkan kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) wanita negara mencapai 60 peratus menjelang tahun 2033 selaras dengan Dasar Wanita Negara dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita 2025-2030.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying berkata, setakat ini KPTB wanita di peringkat nasional berada pada tahap 56.9 peratus, manakala Pulau Pinang merekodkan kadar lebih tinggi iaitu 57.6 peratus pada tahun 2024.

Menurutnya, pencapaian tersebut mencerminkan peningkatan memberangsangkan penglibatan wanita dalam pasaran kerja, seiring kedudukan Pulau Pinang sebagai hab industri, teknologi, pendidikan dan ekonomi kreatif.

"Walaupun jurang ke arah sasaran 60 peratus kelihatan kecil, ia bukan sesuatu yang mudah dicapai.

"Banyak usaha perlu diteruskan dan diperkukuhkan melalui kerjasama antara kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, sektor swasta serta komuniti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 Peringkat Negeri Pulau Pinang di Auditorium Majilis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), di sini pada Rabu.

Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Baderul Amin Abdul Hamid serta Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Datuk Faridah Awang.

Hui Ying berkata, wanita merangkumi hampir 49 peratus daripada jumlah penduduk Pulau Pinang dan mewakili potensi modal insan yang besar dalam perancangan pembangunan negeri.

Beliau berkata, kemajuan ekonomi dan sosial negara tidak akan tercapai tanpa penglibatan aktif golongan wanita, yang kini bukan sekadar penerima manfaat pembangunan, malah penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau turut menekankan peranan penting wanita dalam memacu ekonomi jingga, khususnya dalam industri kreatif, digital dan berasaskan komuniti yang menyumbang kepada nilai ekonomi, identiti budaya serta kelestarian sosial.

"Bagi meningkatkan lagi penglibatan wanita dalam pasaran kerja, katanya, kerajaan akan memberi tumpuan kepada program latihan peningkatan kemahiran dan latihan semula, terutama bagi menggalakkan golongan suri rumah kembali bekerja.

"Usaha ini akan digerakkan melalui Pelan Tindakan Pembangunan Wanita di setiap negeri serta pengukuhan sektor ekonomi penjagaan bagi menyokong penyertaan wanita secara lebih menyeluruh,"ujarnya.

ENDS

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!