[VIDEO] MM2H: Warga China paling ramai beli rumah di Malaysia
KUALA LUMPUR - Seramai 744 peserta Malaysia My Second Home (MM2H) direkodkan membeli hartanah di negara ini sejak 2023 sehingga 31 Disember 2025 dengan warga China menjadi pembeli tertinggi iaitu sebanyak 304 rumah diikuti Taiwan, 91 unit.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, selain itu warganegara Singapura sebanyak 63, Amerika Syarikat (41), United Kingdom (40), Hong Kong (34), Australia (29), Bangladesh (19), Korea Selatan (15) manakala Indonesia dan Jepun masing-masing 14.

"Kementerian menetapkan had pembelian hartanah mengikut tier, contoh kategori Platinum mesti beli rumah bernilai (minimum) RM2 juta ke atas, Gold pula RM1 juta," katanya ketika sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Rabu.
Beliau menjawab pertanyaan Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) mengenai jumlah terkini rumah yang telah dijual kepada warga asing melalui program berkenaan mengikut kategori negara asal.
Sementara itu ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai rancangan untuk mempelbagaikan penyertaan dari warganegara selain China dan Taiwan, King Sing berkata, program tersebut terbuka kepada pemohon dari seluruh dunia.
"Jangan politikkan perkara ini. Pemohon dari negara Arab juga diterima dan ada yang membuat pembelian, walaupun jumlahnya tidak besar.
"Kami akan memperhebatkan lagi usaha promosi program ini," ujarnya
King Sing yang juga Ahli Parlimen Bintulu memberitahu, ketika ini seramai 2,637 peserta lain masih dalam proses pembelian termasuk memuktamadkan perjanjian jual beli dan mengenalpasti lokasi hartanah yang sesuai.
Jelas beliau, Program MM2H tidak pernah membenarkan permohonan bagi kewarganegaraan dan permastautin tetap kerana ia adalah program pass lawatan sosial jangka panjang dengan kemudahan visa ulang-alik bagi membolehkan warga asing tinggal di Malaysia untuk tempoh lima hingga 20 tahun.
"Tempoh pengesahan pas bagi semua kategori adalah lima tahun bagi setiap sesi dan peserta boleh memperbaharuinya sehingga tamat tempoh maksimum kategori masing-masing.
"Peserta juga dibenarkan membuat lanjutan setiap lima sekiranya masih berminat," katanya.
Ringkasan AI
- Seramai 744 peserta Malaysia My Second Home (MM2H) membeli hartanah di Malaysia sejak 2023 hingga 31 Disember 2025
- Warga China merupakan pembeli tertinggi dengan 304 rumah
- Had pembelian hartanah bagi peserta MM2H ditetapkan mengikut kategori Platinum dan Gold
- Program MM2H terbuka kepada pemohon dari seluruh dunia termasuk negara Arab
- Terdapat 2,637 peserta lain masih dalam proses pembelian hartanah di bawah program MM2H
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

