MAHB bertanggungjawab jika gangguan Aerotrain KLIA disebabkan isu teknikal - Anthony Loke

Menteri Pengangkutan Anthony Loke (kanan) ketika sidang media selepas Mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan (NLTF) Bilangan 2/2025, di sebuah hotel pada Khamis. Foto Bernama
Menteri Pengangkutan Anthony Loke (kanan) ketika sidang media selepas Mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan (NLTF) Bilangan 2/2025, di sebuah hotel pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kekerapan gangguan perkhidmatan Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tidak boleh diterima dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) akan dipertanggungjawabkan atas sebarang gangguan yang didapati disebabkan isu teknikal, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata, MAHB selaku pemegang konsesi bertanggungjawab terhadap projek dilaksanakan kontraktor yang dilantik iaitu Alstom dan IJM-PESTEC Joint Venture (IPJM).

"Kami kena pastikan perkhidmatan ini lebih dipercayai… kami masih tak puas hati lagi dalam tempoh empat bulan berlaku begitu banyak kali gangguan bagi satu sistem baharu.

"Beberapa gangguan adalah disebabkan oleh kesalahan teknikal yang tidak sepatutnya berlaku. Itu yang perlu kami ambil tindakan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan di sini pada Khamis. 

Anthony Loke berkata, sebarang tindakan punitif hanya akan diambil selepas siasatan terhadap setiap insiden gangguan perkhidmatan Aerotrain diselesaikan.

Selasa lepas, Anthony Loke mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk membuka kertas siasatan terhadap MAHB susulan gangguan terbaharu perkhidmatan Aerotrain pada awal pagi hari yang sama.

Beliau berkata, lesen pengendali yang dikeluarkan kepada MAHB menetapkan syarikat itu wajib memastikan tahap perkhidmatan Aerotrain yang memuaskan kepada pengguna.

Mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, pelanggaran syarat lesen pengendali boleh dikenakan kompaun hingga RM250,000 bagi setiap kesalahan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia juga sedang menjalankan siasatan terhadap kemungkinan terdapat unsur rasuah atau penyelewengan dalam pelaksanaan projek Aerotrain. - Bernama

Artikel Berkaitan:

 

 

 

 

 

 

 

 

Ringkasan AI

  • Kekerapan gangguan perkhidmatan Aerotrain di KLIA tidak dapat diterima dan MAHB akan dipertanggungjawabkan
  • MAHB bertanggungjawab atas projek yang dilaksanakan oleh kontraktor Alstom dan IJM-PESTEC Joint Venture
  • Beberapa gangguan disebabkan kesalahan teknikal yang tidak sepatutnya berlaku
  • Tindakan punitif akan diambil selepas siasatan setiap insiden gangguan perkhidmatan Aerotrain selesai
  • Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menjalankan siasatan terhadap kemungkinan rasuah atau penyelewengan dalam projek Aerotrain

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!