Projek naik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang lancar

BAYAN LEPAS – Projek naik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) bernilai RM1.2 bilion terus mencatat kemajuan positif dengan perkembangan ketara bagi tiga pakej kerja utama yang sedang dilaksanakan.
Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berkata, Pakej Kerja 2 (WP02) yang menumpukan kepada pembinaan kawasan apron dan kemudahan udara kini mencapai 24 peratus siap.
Menurutnya, ia melibatkan pembinaan turapan apron baharu, sistem saliran udara dan pemasangan laluan kabel untuk sistem pencahayaan serta pengurusan pesawat yang lebih canggih.
"Kerja pemindahan serta perobohan laluan teksi sedia ada juga sedang dijalankan sebagai sebahagian daripada usaha menaik taraf operasi lapangan terbang itu.
"Sementara itu, Pakej Kerja 1 (WP01) yang merangkumi pembinaan bangunan sokongan, pejabat, stesen jauh, sistem mekanikal dan elektrik serta kerja kejuruteraan awam telah mencapai 71 peratus siap," katanya pada Rabu.
Tambah MAHB, bagi Pakej Kerja 3 (WP03) pula, ia melibatkan pembinaan terminal domestik dan antarabangsa baharu, kerja landskap, jalan serta pemindahan infrastruktur berkuasa tinggi dan rendah.

"Keseluruhan projek masih berjalan mengikut jadual empat tahun pembinaan dari 2024 hingga 2028," ujarnya lagi.
MAHB turut menegaskan komitmen untuk meminimumkan gangguan operasi sambil mempercepatkan pelaksanaan projek dengan pemantauan berterusan oleh kerajaan negeri bagi memastikan lapangan terbang baharu berkenaan menjadi kebanggaan rakyat Pulau Pinang.
Sementara itu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, selepas mendengar taklimat mengenai perkembangan terkini projek tersebut, kerajaan negeri yakin terhadap trajektori pelaksanaan projek pembesaran terbabit.
“Naik taraf LTAPP bukan sekadar meningkatkan kapasiti, tetapi ia juga usaha untuk meletakkan Pulau Pinang sebagai destinasi utama pelancongan dan perniagaan.
“Kerajaan negeri gembira melihat kemajuan ketara terutama dalam WP02 yang penting untuk operasi udara dan sambungan masa depan.
"Lapangan terbang ini perlu mencerminkan semangat negeri ini, inovatif, mesra dan berakar pada budaya. Projek ini akan memperkukuh peranan Pulau Pinang sebagai hab perniagaan dan destinasi pelancongan tepi laut,” ujarnya.
Kini LTAPP beroperasi 24 jam sehari dengan tujuh destinasi domestik dan lapan destinasi antarabangsa, mengendalikan purata 22,584 penumpang setiap hari dengan 49 kaunter daftar masuk, 12 ruang parkir pesawat dan sembilan jambatan udara.
Apabila siap kelak, lapangan terbang itu dijangka mampu menampung 12 juta penumpang setahun, hampir dua kali ganda daripada kapasiti semasa iaitu 6.5 juta.
LTAPP juga akan dilengkapi 28 tempat parkir pesawat berbanding 16 ketika ini dan terminal yang lebih luas serta moden mengikut piawaian Airport 4.0 dengan penekanan terhadap automasi dan sistem pintar.
Selain infrastruktur, projek itu turut menekankan pengalaman keseluruhan penumpang dengan menampilkan suasana budaya tempatan melalui konsep 'Sense of Malaysia'' yang memperkenalkan warisan dan keindahan Pulau Pinang.
Ringkasan AI
- BAYAN LEPAS – Projek naik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang bernilai RM1.2 bilion mencatat kemajuan positif
- Pakej Kerja 2 menumpukan kepada pembinaan kawasan apron dan kemudahan udara kini mencapai 24 peratus siap
- Pakej Kerja 1 yang melibatkan pembinaan bangunan sokongan dan lain-lain telah mencapai 71 peratus siap
- Projek ini dijadwalkan selesai dalam tempoh empat tahun pembinaan dari 2024 hingga 2028
- Ketika siap, lapangan terbang ini dijangka mampu menampung 12 juta penumpang setahun, meningkat hampir dua kali ganda dari kapasiti semasa
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

