MAHB laksana pembetulan segera susulan insiden Aerotrain KLIA

MAHB melaksanakan pelan tindakan pembetulan untuk sistem Aerotrain KLIA yang mengalami gangguan. Foto Bernama
MAHB melaksanakan pelan tindakan pembetulan untuk sistem Aerotrain KLIA yang mengalami gangguan. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM – Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) melaksanakan pelan tindakan pembetulan segera susulan isu gangguan perkhidmatan sistem Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini.

MAHB dalam kenyataan berkata, pelan tindakan komprehensif itu akan diketuai oleh pasukan projek Malaysia Airports dengan kerjasama kontraktor, perunding projek serta penilai teknikal bebas.

“Berdasarkan insiden Aerotrain yang berlaku baru-baru ini, Malaysia Airports telah secara rasmi mengemukakan kebimbangan kepada kontraktor Alstom dan usaha sama IJMC-PESTECH (IPJV) serta menuntut tindakan pembetulan segera diambil.

“Penilaian awal yang dijalankan menunjukkan terdapat trend penurunan dalam tahap kebolehpercayaan sistem, khususnya membabitkan kenderaan dan sistem pengagihan kuasa,” katanya pada Jumaat.

Sejak beroperasi semula pada 1 Julai lalu, Aerotrain telah mengalami beberapa kali gangguan perkhidmatan dengan insiden terbaharu dilaporkan berlaku awal pagi Selasa.

Susulan itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pada Selasa mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) membuka kertas siasatan terhadap MAHB.

Menurut kenyataan MAHB, meskipun pihak kontraktor telah mengemukakan data serta jaminan tertentu, maklumat yang diberikan masih belum meyakinkan sepenuhnya mengenai tahap kebolehpercayaan semasa sistem pengangkutan berkenaan.

Jelasnya, pelan tindakan menyeluruh itu sedang dibangunkan dengan penglibatan aktif semua pihak berkaitan.

“Malaysia Airports akan terus bekerjasama rapat dengan APAD dan Kementerian Pengangkutan (MOT) bagi menangani serta menyelesaikan isu tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Sebagai langkah segera, perkhidmatan bas ulang-alik sepenuhnya akan disediakan antara jam 11 malam hingga 5 pagi setiap hari bagi memudahkan kerja-kerja pemeriksaan dan pembaikan,” ujarnya.

Katanya, dari jam 5 pagi hingga 11 malam setiap hari, perkhidmatan bas ulang-alik tambahan akan beroperasi seiring dengan perkhidmatan Aerotrain bagi memastikan pergerakan penumpang tidak terganggu.

“Malaysia Airports bersedia menggerakkan sumber yang meluas untuk menyediakan perkhidmatan bas ulang-alik sepenuhnya mengikut keperluan pelan tindakan komprehensif tersebut,” menurut kenyataan itu.

Ringkasan AI

  • MAHB melaksanakan pelan tindakan pembetulan untuk sistem Aerotrain KLIA yang mengalami gangguan.
  • Pelan tindakan diketuai oleh pasukan projek Malaysia Airports bersama kontraktor dan penilai bebas
  • Malaysia Airports meminta kontraktor, Alstom dan IPJV untuk tindakan segera susulan penurunan kebolehpercayaan sistem
  • Menteri Pengangkutan mengarahkan kertas siasatan terhadap MAHB oleh APAD
  • Perkhidmatan bas ulang-alik disediakan untuk mengatasi gangguan operasi Aerotrain

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!