MTL: 150 bot ditempatkan di lokasi risiko banjir - JBPM

Nor Hisham Foto Bernama
Nor Hisham Foto Bernama
A
A
A

PUCHONG – [DIKEMAS KINI] Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah menempatkan 150 bot bersaiz kecil untuk kegunaan penduduk di penempatan yang menjadi lokasi berisiko banjir sebagai langkah persediaan awal untuk berpindah sementara bantuan pasukan penyelamat ketika Monsun Timur Laut (MTL).

Ketua Pengarah Bomba, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, bot-bot berkenaan telah diagihkan ke daerah utama yang sering dilanda banjir seperti Kuala Lipis di Pahang selain Kuala Selangor, Kuala Langat, Dengkil di Selangor.

Menurutnya, komuniti tempatan turut diberi latihan sebagai pasukan penyelamat awal selain penekanan pematuhan prosedur keselamatan sebelum bantuan pasukan penyelamat tiba.

“Pengalaman kami menunjukkan bahawa dalam tempoh awal bencana, komuniti setempat memainkan peranan penting memindahkan mangsa ke tempat selamat.

“Mereka lebih mengenali kawasan, laluan dan individu yang perlu diutamakan untuk diselamatkan,” katanya kepada pemberita selepas Sesi Libat Urus Bersama Media: Persiapan Kerajaan Menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026 di Markas Smart, Pulau Meranti, di sini pada Khamis.

Turut hadir Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Abdul Halim Hamzah.

Tambah Nor Hisham, bot berkenaan yang lebih praktikal itu diperoleh daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berdasarkan maklum balas operasi banjir sebelum ini.

Katanya, JBPM juga menekankan aspek keselamatan, komunikasi dan pelaporan kepada komuniti dalam melaksanakan bantuan awal kepada mangsa banjir.

Tambahnya, komuniti juga diajar mengenal pasti golongan berisiko tinggi seperti warga emas, wanita mengandung dan penduduk yang terputus hubungan bagi memudahkan koordinasi pemindahan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, JBPM juga telah menubuhkan 29 Pasukan Gerak Cepat (PGC) bagi melaksanakan operasi menyelamat dan pemantauan.

"PGC dikhususkan sepenuhnya untuk operasi banjir dan tidak lagi digabungkan dengan tugasan kebakaran seperti sebelum ini.

“Sebelum ini, balai sama perlu urus kedua-dua operasi kebakaran dan banjir. Kini, pasukan khas ini hanya fokus kepada misi banjir, sama ada dalam daerah atau di negeri lain jika diperlukan,” katanya.

Tegasnya, JBPM kini berada pada tahap kesiapsiagaan penuh menjelang musim MTL dijangka bermula 6 November hingga Mac tahun depan dengan kerjasama erat bersama Nadma serta agensi lain.

 

 

Ringkasan AI

  • JBPM menempatkan 150 bot kecil di penempatan berisiko banjir sebagai persediaan monsun
  • Bot diagihkan ke daerah utama sering dilanda banjir termasuk Kuala Lipis dan Kuala Selangor
  • Komuniti tempatan diberi latihan sebagai pasukan penyelamat awal
  • Bot praktikal diperoleh dari Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan
  • JBPM menubuhkan 29 Pasukan Gerak Cepat khusus untuk operasi banjir

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!