Balai Bomba Rantau Panjang akan dipindah ke lokasi lebih strategik, elak banjir

Nordin (dua dari kanan) melihat enjin bot yang siap sedia digunakan semasa banjir.
Nordin (dua dari kanan) melihat enjin bot yang siap sedia digunakan semasa banjir.
A
A
A

TUMPAT - Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rantau Panjang akan dipindahkan ke lokasi baharu yang lebih strategik dan selamat daripada risiko banjir sekali gus memastikan operasi penyelamatan di kawasan sempadan itu tidak terjejas pada musim tengkujuh.

Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Nordin Pauzi berkata, peruntukan berjumlah RM3 juta sudah diluluskan untuk kerja-kerja awal perolehan tanah, kajian kesesuaian dan rawatan tapak di bawah Rolling Plan pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang akan bermula tahun hadapan.

“Kerajaan dan JBPM kekal dengan prinsip bahawa balai bomba mesti berada di lokasi paling selamat, orang yang menyelamat mesti dahulu selamat.

“Rantau Panjang dikenal pasti sebagai antara hotspot banjir dan langkah pemindahan ini perlu bagi menjamin kelancaran operasi,” katanya pada sidang media sempena lawatan kerja ke BBP Pengkalan Kubor di sini pada Sabtu.

Turut hadir, Pengarah JBPM Negeri Kelantan, Farhan Sufyan Borhan.

BBP Rantau Panjang yang bakal dipindahkan.
BBP Rantau Panjang yang bakal dipindahkan.

Menurut Nordin, lokasi sedia ada balai berkenaan sering terjejas setiap tahun akibat banjir selain turut berdepan laluan utama yang terputus dan menyukarkan pergerakan pasukan penyelamat ke kawasan sekitar.

Bagaimanapun, katanya, JBPM tetap mengekalkan kesiapsiagaan sepenuhnya bagi memastikan perkhidmatan tidak terganggu sepanjang musim tengkujuh tahun ini yang dijangka melanda pada bila-bila masa dari sekarang.

Artikel Berkaitan:

“Semua aset dan jentera diarahkan untuk ditempatkan ke kawasan tinggi sekiranya paras air meningkat.

“Bilik kawalan utama juga dinaikkan ke tingkat atas supaya operasi 24 jam tidak terjejas walau ketika banjir,” katanya lagi.

Beliau turut menjelaskan bahawa pemilihan lokasi baharu akan mengambil kira akses ke jalan utama, faktor keselamatan dan kesesuaian geografi selaras dengan piawaian pembinaan balai bomba di seluruh negara.

Selain Rantau Panjang, katanya, JBPM sebelum ini melaksanakan langkah serupa dengan memindahkan BBP Beaufort, Sabah yang sering dilanda banjir ke kawasan lebih tinggi.

“Kami mengambil kira pengalaman lepas termasuk 2014 bagi memastikan kesemua balai selamat dan bersedia,” jelasnya.

Ringkasan AI

  • Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang akan dipindahkan ke lokasi baharu yang lebih strategik dan selamat dari banjir
  • Peruntukan RM3 juta diluluskan untuk kerja-kerja awal pemindahan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13
  • Penyelamat mesti berada di lokasi selamat untuk memastikan operasi penyelamat tidak terjejas
  • Pemilihan lokasi baharu akan mengambil kira akses ke jalan utama dan faktor keselamatan
  • Langkah pemindahan ini diambil berdasarkan pengalaman lepas termasuk bencana banjir 2014

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!