Pemandu lori ditetak lelaki bersenjatakan parang

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu lori cedera selepas diserang dua lelaki bersenjatakan parang di Flat Taman Sri Murni di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, dalam kejadian pada jam 11 malam, mangsa berusia 28 tahun berada di hadapan sebuah blok flat berkenaan, sebelum didatangi dua lelaki menaiki sebuah motosikal.
"Kedua-dua suspek secara tiba-tiba menghampiri mangsa dan menetak lengan kirinya sebanyak empat kali dengan menggunakan parang.
“Suspek kemudian melarikan diri dengan menaiki motosikal jenis Yamaha Y15 V2," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Ahmad Sukarno berkata, lelaki itu mengalami kecederaan di lengan kiri dan dihantar ke Hospital Selayang sebelum dimasukkan ke Wad Ortopedik untuk rawatan lanjut.
"Mangsa memaklumkan tidak mengenali suspek dan tidak mempunyai sebarang permusuhan atau masalah dengan mana-mana pihak," katanya.
Tambahnya, teman wanita mangsa yang berada bersama ketika kejadian turut memaklumkan serangan itu berlaku secara mengejut dan kedua-dua suspek memakai topi keledar.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.
Ringkasan AI
- Seorang pemandu lori cedera selepas diserang dua lelaki bersenjatakan parang di Flat Taman Sri Murni
- Kejadian serangan berlaku pada jam 11 malam di hadapan sebuah blok flat
- Suspek menetak lengan kiri mangsa empat kali dengan menggunakan parang sebelum melarikan diri
- Mangsa dihantar ke Hospital Selayang dan dimasukkan ke Wad Ortopedik untuk rawatan lanjut
- Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek sedang dijalankan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
