27 rakyat Singapura, tujuh warga Malaysia antara suspek baharu sindiket penipuan di Kemboja

PHNOM PENH - Pasukan Polis Singapura (SPF) mendedahkan bahawa 27 warga Singapura dan tujuh rakyat Malaysia disyaki terlibat dalam kegiatan jenayah siber bernilai RM130 juta yang berpangkalan di Kemboja.
Menurut SPF, operasi penguatkuasaan bersama Polis Kebangsaan Kemboja (CNP) dilancarkan pada 9 September terhadap Kumpulan Jenayah Terancang (OCG) yang menyamar sebagai pegawai kerajaan dan menyasarkan mangsa di Singapura.
"Kumpulan itu dipercayai beroperasi dari sebuah kompleks penipuan di Phnom Penh, Kemboja dan disyaki bertanggungjawab terhadap sekurang-kurangnya 438 kes dengan jumlah kerugian lebih S$41 juta,” menurut kenyataan itu pada Selasa.
Susulan operasi awal di Kemboja, SPF memaklumkan bahawa seramai 15 suspek terdiri daripada 12 rakyat Singapura, dua rakyat Malaysia dan seorang warga Filipina telah ditahan di Singapura dan didakwa pada 11 dan 12 September atas pertuduhan menjadi ahli OCG yang berpangkalan di negara itu.
Hasil siasatan lanjut dan bukti yang dikumpul di Kemboja, SPF mengenal pasti tambahan 27 rakyat Singapura dan tujuh rakyat Malaysia yang dipercayai turut menjadi anggota kumpulan sama serta beroperasi dari kompleks penipuan yang sama di Phnom Penh.
"Kesemua 34 suspek kini berada di luar Singapura. Waran tangkap dikeluarkan terhadap mereka dan SPF sedang bekerjasama dengan agensi penguat kuasa antarabangsa untuk mengesan serta menahan mereka.
"SPF juga bekerjasama dengan INTERPOL bagi mengeluarkan Notis Merah terhadap suspek-suspek berkenaan. Siasatan terhadap kumpulan jenayah ini masih dijalankan,” menurut kenyataan itu. - Bernama
Ringkasan AI
- Pasukan Polis Singapura mendedahkan 27 warga Singapura dan tujuh rakyat Malaysia disyaki terlibat dalam kegiatan jenayah siber bernilai RM130 juta yang berpangkalan di Kemboja
- Operasi penguatkuasaan bersama Polis Kebangsaan Kemboja dilancarkan terhadap Kumpulan Jenayah Terancang yang menyamar sebagai pegawai kerajaan
- Kumpulan itu dipercayai beroperasi dari sebuah kompleks penipuan di Phnom Penh dan bertanggungjawab terhadap 438 kes kerugian lebih S$41 juta
- Lima belas suspek termasuk warganegara Singapura, Malaysia, dan Filipina telah ditahan di Singapura dan didakwa atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan terancang tersebut
- Waran tangkap dikeluarkan terhadap 34 suspek yang kini berada di luar Singapura dengan SPF bekerjasama dengan agensi antarabangsa untuk mengesan mereka
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
