Mahkamah tolak reman jutawan hartanah, adik disyaki terlibat penipuan urus niaga tanah

Usahawan hartanah bergelar Datuk (kanan) bersama adiknya tiba di perkarangan Mahkamah Majistret Dungun bagi prosiding permohonan reman, pada Selasa.
Usahawan hartanah bergelar Datuk (kanan) bersama adiknya tiba di perkarangan Mahkamah Majistret Dungun bagi prosiding permohonan reman, pada Selasa.
A
A
A

DUNGUN – Mahkamah Majistret di sini menolak permohonan reman terhadap seorang ahli perniagaan bergelar Datuk dan adik lelakinya yang disyaki terlibat dalam kes penipuan urus niaga tanah.

Keputusan itu dibuat oleh Majistret Nur Amira Fatihah Osman selepas mendengar permohonan daripada pihak polis bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Kedua-dua suspek masing-masing berusia 38 dan 31 tahun tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Dungun kira-kira jam 8.40 pagi.

Suspek yang diwakili peguam Ahmad Adha Amir Yasser diiringi anggota polis sebaik tiba di mahkamah tersebut.

Menurut Ahmad Adha, mahkamah menolak permohonan reman selepas mengambil kira alasan dikemukakan pihak pembelaan, termasuk bahawa anak guamnya sebelum ini telah dipanggil untuk membantu siasatan kes sama.

"Anak guam saya bersedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dan akan hadir apabila dipanggil semula.

“Selain itu, tiada unsur dorongan untuk menipu kerana kes ini melibatkan perjanjian jual beli yang sah.

"Elemen siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan juga tidak lengkap kerana tanah tersebut sememangnya wujud," katanya ketika ditemui di luar mahkamah pada Selasa.

Sebelum ini, Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin mengesahkan penahanan usahawan berkenaan selepas dia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Besut pada Isnin bagi pertuduhan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, suspek ditahan semula oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Terengganu bagi membantu siasatan kes penipuan urus niaga tanah melibatkan seorang pesara guru yang mendakwa kerugian sebanyak RM35,000 pada 2023.

Ringkasan AI

  • Mahkamah Majistret Dungun menolak permohonan reman terhadap Datuk dan adiknya yang disyaki terlibat dalam penipuan urus niaga tanah
  • Majistret Nur Amira Fatihah Osman menolak permohonan berdasarkan Seksyen 420 Kanun Keseksaan
  • Kedua-dua suspek diwakili peguam dan telah hadir ke mahkamah untuk permohonan reman
  • Pembelaan menegaskan anak guamnya bersedia kerjasama penuh dalam siasatan polis
  • Kes melibatkan dakwaan kerugian RM35,000 oleh seorang pesara guru dalam urus niaga tanah pada 2023

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!