Perjanjian perdagangan Malaysia-AS didakwa berat sebelah - Muhammad Rafique

Muhammad Rafique
Muhammad Rafique
A
A
A

SHAH ALAM – Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali mempersoalkan tindakan kerajaan meluluskan secara dasar perjanjian perdagangan antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) yang disifatkannya sebagai berat sebelah serta berisiko menjejaskan kepentingan negara.

Beliau berkata, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz akhirnya mengesahkan bahawa perjanjian itu telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri.

“Semalam beliau dalam satu video mendakwa ramai pihak tidak memahami atau gagal membaca perjanjian berkenaan secara menyeluruh. Namun, Klausa 5.1.1 amat jelas dan panjang lebar menunjukkan Malaysia terikat dengan syarat-syarat Amerika Syarikat.

“Walaupun wujud ruang rundingan, ia tetap meletakkan Malaysia dalam kedudukan yang amat tidak seimbang. Dalam bahasa mudah, kita sudah ‘dam haji’ sedia untuk dimakan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Muhammad Rafique turut mempersoalkan bagaimana pasukan perunding kerajaan boleh membiarkan klausa tersebut dimasukkan sehingga mengikat Malaysia sedemikian rupa.

Katanya, perjanjian itu juga melibatkan isu nadir bumi, mineral dan sumber asli, sedangkan perkara berkaitan tanah terletak di bawah Senarai Negeri dalam Perlembagaan Persekutuan dan menjadi hak milik negeri di bawah naungan Raja-Raja Melayu.

“Adakah Majlis Raja-Raja serta kerajaan negeri telah dirujuk? Memang benar kuasa menandatangani perjanjian antarabangsa berada pada kerajaan Persekutuan, tetapi hak terhadap tanah serta sumber mineral milik negeri tidak boleh diketepikan begitu sahaja,” katanya.

Beliau turut menegur reaksi keras Tengku Zafrul terhadap pihak yang mendakwa negara tergadai apabila Menteri berkenaan menegaskan kerajaan tidak akan membiarkan “seinci tanah tergadai” dan menganggapnya sebagai garis merah kerajaan.

Pada Sesi Kenyataan Menteri mengenai Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-AS di Dewan Rakyat pada Rabu, Tengku Zafrul berkata pemeteraian Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat bukan sekadar berjaya menurunkan kadar tarif eksport negara malah turut membuka lembaran baharu dalam hubungan ekonomi, pelaburan dan diplomasi dua hala.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, perjanjian itu memberi pelbagai manfaat tambahan kepada Malaysia, termasuk peningkatan status hubungan dua hala antara kedua-dua negara kepada Perkongsian Strategik Komprehensif.

Ringkasan AI

  • Ketua Penerangan Pejuang mempertikaikan kerajaan meluluskan perjanjian perdagangan dengan AS sebagai berat sebelah
  • Perjanjian telah disahkan oleh Jemaah Menteri
  • Klausa dalam perjanjian tersebut dikatakan mengikat Malaysia dengan syarat-syarat Amerika Syarikat
  • Perjanjian melibatkan isu nadir bumi dan sumber asli yang merupakan hak milik negeri
  • Tengku Zafrul menegur reaksi keras terhadap dakwaan negara tergadai, sambil menyatakan perjanjian itu memberi manfaat kepada Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!