Malaysia akan pantau pelaksanaan perjanjian dimeterai ASEAN - PM

KUALA LUMPUR - Penglibatan bermakna dengan kalangan rakan kongsi pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan perlu melangkaui perjanjian di atas kertas, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, Malaysia juga akan memantau pelaksanaannya untuk memastikan rakyat meraih manfaat.
Malaysia akan memastikan rakyat memperoleh manfaat daripada akses perdagangan, dan melindungi kepentingan dan autonomi negara.
"Pendiran kita akan kekal berasaskan kepada prinsip keamanan, kemakmuran dan integriti, di samping bekerjasama dengan sahabat dan negara jiran.
"Bersama-sama, kita akan merangka hala tuju yang memartabatkan tradisi kita, menjamin masa depan dan kesejahteraan rakyat Malaysia serta warga ASEAN,” kata Anwar menerusi catatan di media sosial rasmi beliau hari
Anwar berkata, lawatan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke Malaysia menandakan detik penting dalam mengukuhkan semula hubungan sekian lama Putrajaya dengan Washington serta komitmen bersama terhadap keamanan dan kemakmuran serantau.
"Pertemuan kami berlandaskan rasa hormat terhadap kepentingan bersama, memperbaharu dialog perdagangan, memperkukuh kerjasama rantaian bekalan dan mineral penting serta menegaskan semula peranan utama ASEAN dalam membentuk kerjasama Asia-Pasifik,” katanya.
Trump merupakan Presiden Amerika Syarikat ketiga dalam sejarah yang melawat Malaysia, selepas Lyndon B Johnson pada 1966 dan Barack Obama pada 2014 dan 2015.
Sebagai Pengerusi ASEAN 2025 berdasarkan giliran, Anwar berkata, lawatan itu dilihat bukan sebagai sokongan kepada mana-mana blok kuasa sebaliknya menjadi bukti bahawa Malaysia boleh berperanan sebagai rakan yang neutral, boleh dipercayai dan efektif
"Menghubungkan ekonomi, memudah cara dialog dan menyumbang kepada kestabilan. Pemeteraian Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Kemboja dan Thailand merupakan contoh jelas bahawa peranan diplomatik strategik kita memberi nilai,” katanya.
Pada masa yang sama, Anwar juga menyatakan penghargaan kepada Trump atas komitmen beliau dalam memajukan Pelan Damai Gaza, yang diharap dapat menyelamatkan nyawa rakyat Palestin.
"Mesej saya jelas, Palestin harus selamat, merdeka dan berdaulat.
"Malaysia tetap teguh dengan prinsip kemanusiaan sejagat, memperjuangkan keamanan yang adil dan berkekalan, memperkukuh solidariti ASEAN, serta mengangkat martabat Malaysia sebagai jambatan ke arah dunia yang aman, makmur dan bermaruah,” kata beliau.- Bernama
Ringkasan AI
- Penglibatan bermakna ASEAN perlu melangkaui perjanjian di atas kertas, kata Anwar Ibrahim
- Malaysia akan memastikan rakyat mendapat manfaat dari akses perdagangan dan melindungi kepentingan negara
- Pendirian Malaysia berasaskan prinsip keamanan, kemakmuran, dan integriti
- Lawatan Presiden AS, Donald Trump ke Malaysia menandakan pengukuhkan hubungan dengan Washington
- Malaysia berperanan sebagai rakan neutral dan efektif dalam hubungan antarabangsa
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
