Kanak-kanak 6 tahun dikelar

Polis menyiasat kes seorang kanak-kanak lelaki cedera di leher dipercayai akibat dikelar dalam kejadian di Parit Raja, Batu Pahat. - Shahrulnuar Mushaddat (gambar kecil)
Polis menyiasat kes seorang kanak-kanak lelaki cedera di leher dipercayai akibat dikelar dalam kejadian di Parit Raja, Batu Pahat. - Shahrulnuar Mushaddat (gambar kecil)
A
A
A

BATU PAHAT – Polis menjalankan siasatan berhubung kejadian seorang kanak-kanak lelaki dipercayai dikelar menggunakan senjata tajam di bahagian leher dalam kejadian di Parit Raja, di sini, awal pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulnuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada seorang wanita tempatan berusia 40 tahun pada jam lebih kurang 9 pagi.

“Wanita terbabit memaklumkan pada jam 5.30 pagi, ketika berada di rumahnya di Parit Raja, dia tersedar daripada tidur dan mendapati anak lelakinya berusia enam tahun mengalami kecederaan parah di bahagian leher,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera parah dengan menggunakan senjata atau benda berbahaya.

“Kes masih di peringkat awal dan siasatan lanjut dijalankan bagi menentukan motif kejadian,” katanya.

Dalam pada itu, Shahrulnuar menasihatkan orang ramai supaya tidak menularkan sebarang gambar mangsa atau membuat hantaran di media sosial tanpa pengesahan pihak berkuasa kerana ia boleh menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan.

“Orang ramai juga diingatkan bahawa tindakan menularkan gambar mangsa boleh disiasat di bawah Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Polis menyiasat kejadian kanak-kanak lelaki dikelar di leher di Parit Raja, Batu Pahat
  • Ibu berusia 40 tahun laporkan kejadian tersebut pada pukul 9 pagi
  • Anaknya berusia enam tahun ditemui cedera pada jam 5.30 pagi
  • Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan
  • Polis menasihatkan orang ramai tidak menularkan gambar mangsa di media sosial

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!