Projek RM2.62 bilion perkasa sistem tebatan banjir di Terengganu

KUALA TERENGGANU – Sebanyak tujuh projek baharu bernilai RM410.37 juta diluluskan di bawah Rolling Plan Pertama (RP1) 2026, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Terengganu menjadikan jumlah keseluruhan projek mengurangkan risiko banjir di negeri itu mencecah RM2.62 bilion.
Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu, Ir Osman Abdullah berkata, projek berkenaan meliputi kerja-kerja pengawalan hakisan pantai, tebatan banjir, pemeliharaan sungai serta sistem saliran mesra alam.
Katanya, antara projek utama yang diluluskan termasuk Projek Pengawalan Hakisan Pantai Rusila, Marang bernilai RM140 juta; Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Buaya, Kuala Nerus (RM198.17 juta) serta RTB Anak Sungai Ibai, Kuala Terengganu (RM10 juta).
"Turut diluluskan ialah Projek Pemuliharaan Sungai (RM25 juta); Sistem Saliran Line 28 Kampung Mak Chili Paya, Kemaman (RM29.5 juta); Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) Kemaman (RM3.2 juta) dan Kajian Pelan Induk Tebatan Banjir Lembangan Sungai Dungun (RM4.5 juta).
"Kelulusan ini akan memberi impak besar terhadap pengurusan sumber air, pengurangan risiko banjir dan kesejahteraan penduduk di kawasan terlibat," katanya ketika ditemui selepas Taklimat Program Ramalan dan Amaran Banjir Fasa 2 JPS bersama media di sini pada Ahad.
Menurut Osman, kelulusan tambahan itu membuktikan keprihatinan kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh infrastruktur saliran serta mitigasi banjir di negeri ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa selain tujuh projek baharu, kerajaan turut meluluskan 18 projek sambungan sedia ada, sekali gus menjadikan keseluruhan projek JPS Terengganu di bawah RMK13 bernilai RM2.21 bilion.
"Antara projek yang dilaksanakan bagi daerah Kemaman dan Besut pula meliputi RTB Kemasik dengan peruntukan RM50 juta, RTB Gong Kiat (RM5.1 juta) dan RTB Sungai Nail Fasa 1, Besut (RM13 juta).
"Projek-projek ini dilaksanakan secara berperingkat, tertakluk kepada peruntukan tahunan dan keutamaan bagi kawasan berisiko tinggi," katanya.
Ringkasan AI
- Tujuh projek baharu bernilai RM410.37 juta diluluskan di Terengganu untuk mengurangkan risiko banjir
- Projek meliputi kerja pengawalan hakisan pantai, tebatan banjir, pemeliharaan sungai dan sistem saliran mesra alam
- Antara projek utama termasuk Projek Pengawalan Hakisan Pantai Rusila dan Rancangan Tebatan Banjir Sungai Buaya
- Kelulusan projek memberi impak besar pada pengurusan sumber air, pengurangan risiko banjir dan kesejahteraan penduduk
- Kerajaan Persekutuan menunjukkan keprihatinan dalam memperkukuh infrastruktur saliran dan mitigasi banjir di Terengganu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
