Johor cadang urus sendiri projek tertangguh RM10 bilion - Onn Hafiz

Onn Hafiz (tiga dari kiri) dan Ahmad (tiga dari kanan) ketika persidangan UMNO Bahagian Pontian.
Onn Hafiz (tiga dari kiri) dan Ahmad (tiga dari kanan) ketika persidangan UMNO Bahagian Pontian.
A
A
A

PONTIAN – Kerajaan Johor mencadangkan agar tanggungjawab menguruskan projek-projek pembangunan yang tertangguh di negeri itu diserahkan sepenuhnya kepada kerajaan negeri bagi mempercepatkan pelaksanaannya.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pendekatan tersebut diyakini mampu mengelakkan ketirisan, selain memastikan projek terbabit dapat disiapkan mengikut jadual.

“Johor mencadangkan supaya peruntukan disalurkan terus kepada kerajaan negeri, dan kontraktor pula biarlah dilantik oleh kerajaan negeri sendiri.

“Ini kerana kebanyakan kontraktor yang dilantik sebelum ini datang dari luar dan sukar untuk kita berbincang,” katanya semasa merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pontian, di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini pada Ahad.

Turut hadir, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan; Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan dan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman.

Pada Sabtu, Onn Hafiz mendedahkan bahawa sebanyak 222 projek merangkumi pelbagai kemudahan seperti jalan raya, masjid, hospital dan klinik kesihatan di seluruh Johor masih belum dimulakan walaupun sepatutnya dilaksanakan sejak 2016 hingga tahun lalu.

Keseluruhan projek tersebut dianggarkan bernilai lebih RM10 bilion.

Sementara itu, Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya, mencadangkan agar kerajaan negeri menulis surat rasmi kepada Kementerian Kewangan bagi membincangkan isu kelewatan pelaksanaan projek-projek berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, kebanyakan projek tertangguh itu melibatkan kementerian-kementerian Persekutuan seperti Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan.

“Saya secara peribadi menyokong penuh hasrat Menteri Besar untuk menjadikan Johor sebagai negeri perintis melaksanakan sendiri projek Persekutuan.

“Tetapi dari segi prosedur dan strukturnya, adalah lebih wajar kerajaan negeri melalui Menteri Besar menulis secara rasmi kepada Menteri Kewangan,” katanya.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian turut menyokong usaha mempercepat pelaksanaan projek-projek pembangunan terbabit, namun mengingatkan bahawa sebarang langkah mengambil alih peranan Persekutuan perlu diteliti secara menyeluruh.

“Hasrat Menteri Besar itu baik. Sebagai rakyat Johor, saya juga mahu projek-projek ini segera dilaksanakan.

“Tapi dari sudut dasar, kalau Johor dibenarkan (urus sendiri), nanti negeri lain pun akan buat permintaan sama. Akhirnya, tanggungjawab Persekutuan boleh terhakis,” ujarnya.

Pada masa sama, Ahmad menyifatkan tindakan Menteri Besar mengarahkan semua Exco negeri berjumpa dengan kementerian berkaitan sebagai wake-up call yang wajar dipandang serius.

“Ini isyarat jelas daripada Johor bahawa projek-projek pembangunan tidak boleh terus tertangguh.

“Sebagai contoh, Hospital Pontian diumum dalam Belanjawan 2023, tapi kementerian hanya buat lawatan tapak pada Jun 2024,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!