Tujuh kontena e-waste, skrap bernilai RM4.4 juta dirampas

BENTONG - Sebanyak 152,486 kilogram sisa elektrik dan elektronik (e-waste) serta skrap bernilai RM4,402,490 dalam tujuh kontena dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang dalam dua serbuan serentak di Pelabuhan Utara Pelabuhan Klang di Selangor pada 21 Mei lalu.
Pengarahnya, Mohd Asri Seman berkata, sebanyak tujuh kontena ditahan dalam kedua-dua serbuan tersebut yang dipercayai berasal dari Amerika Selatan dan Jepun sebelum dibawa masuk ke negara ini.
Menurutnya, dalam serbuan kira-kira jam 1.15 petang, pasukan operasi dari Bahagian Penguatkuasaan JKDM Bentong dengan kerjasama pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) menahan tiga kontena bersaiz 40 kaki di pelabuhan terbabit.

'Hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati komoditi e-waste yang dipercayai telah diimport tanpa permit import dan membuat pengikraran dagangan import dalam Borang Kastam 1 dengan tidak betul.
"Rampasan e-waste tersebut berjumlah 46,726 kilogram dengan nilai anggaran RM700,890 dan tiada duti atau cukai terlibat.
"Pengimportan barangan e-waste merupakan larangan bersyarat kecuali mengikut cara yang diperuntukkan di bawah Butiran 54, Jadual Ketiga, Bahagian, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 yang memerlukan kelulusan daripada Ketua Pengarah Alam Sekitar," katanya ketika sidang akhbar di Pejabat JDKM Bentong pada Khamis.

Ujarnya, dalam serbuan di waktu dan lokasi sama, sebanyak empat kontena ditahan oleh pasukan penguatkuasaan.
Jelas beliau, hasil pemeriksaan lanjut yang dijalankan mendapati dagangan sebenar dalam kontena merupakan komoditi kepingan aluminium yang dipercayai telah diikrarkan secara tidak betul dalam Borang Kastam 1 sebagai barangan lain.
"Rampasan komoditi kepingan aluminium adalah berjumlah 105,760 kilogram dengan nilai anggaran RM3,701,600 dan tiada duti/cukai terlibat," tambahnya.

Katanya lagi, pengimportan barangan skrap tertakluk kepada Certificate of Approval (COA) daripada Institut Piawaian Dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) yang di bawah seliaan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) seperti yang ditetapkan di bawah Butiran 5, Jadual Keempat, Bahagian 1, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
"Modus operandi yang digunakan bagi kedua-dua kes ini dengan membuat pengikraran tidak benar dalam Borang Kastam 1 dengan mengikrarkan dagangan sebagai copper concentrate bagi mengelak keperluan permit import.
"Setakat ini kes masih dalam siasatan dan sedang mengesan pemilik dagangan," jelas beliau.
Ujar Asri, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

