Albert Tei ditolak memasuki Sabah, gagal kemuka bukti tujuan lawatan

Kemasukan Albert Tei (tengah) ke Sabah ditolak kerana dia tidak mengemukakan bukti sokongan untuk tujuan bertemu rakan.
Kemasukan Albert Tei (tengah) ke Sabah ditolak kerana dia tidak mengemukakan bukti sokongan untuk tujuan bertemu rakan.
A
A
A

KOTA KINABALU - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengesahkan bahawa Tei Jiann Cheing, atau lebih dikenali sebagai Albert Tei, hanya memaklumkan tujuan ketibaannya ke Sabah untuk bertemu rakan tanpa mengemukakan sebarang bukti sokongan, sekali gus membawa kepada penolakan kemasukannya ke negeri ini.

Perkara itu diperjelaskan Pengarah Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof susulan rakaman video yang tular membabitkan individu berkenaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) pada Khamis.

Katanya, JIM turut menerima laporan daripada pihak LTAKK berhubung kejadian tersebut dan telah menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti fakta sebenar.

"Hasil siasatan mendapati bahawa semasa pemeriksaan dokumen di pintu masuk LTAKK, nama individu berkenaan didapati tersenarai dalam rekod Notis Arahan Sekatan (NAS) yang masih aktif.

"Susulan itu, pegawai bertugas di kaunter pemeriksaan pintu masuk telah menemu bual individu berkenaan dan individu tersebut memaklumkan bahawa tujuan kedatangannya ke negeri Sabah adalah untuk bertemu rakan dan menyatakan untuk membuat cubaan masuk ke negeri Sabah tanpa mengemukakan sebarang bukti tujuan kemasukan ke negeri Sabah.

"Berdasarkan semakan lanjut, syarat NAS yang ditetapkan di bawah arahan Pihak Berkuasa Negeri mendapati rekod individu tersebut masih aktif dan beliau hanya dibenarkan masuk bagi tujuan menghadiri prosiding mahkamah," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

SH Sitti Saleha berkata, disebabkan individu tersebut tidak mengemukakan sebarang dokumen atau surat panggilan mahkamah semasa pemeriksaan, pegawai bertugas mengeluarkan Notis Penolakan Masuk (NPM) kerana tidak mematuhi syarat kemasukan sebagai pelawat mengikut Akta Imigresen 1959/63.

"Dalam rekod, individu yang sama pernah dibenarkan masuk pada bulan September 2025 selepas mengemukakan dokumen panggilan mahkamah kepada pegawai bertugas di kaunter pemeriksaan pintu masuk. Hal ini membuktikan bahawa beliau sedia maklum mengenai prosedur kemasukan yang perlu dipatuhi berhubung status NAS yang dikenakan ke atas dirinya.

"Sehubungan itu, kenyataan oleh peguam beliau, di Mahkamah Kota Kinabalu pada 24 Oktober 2025 yang mendakwa anak guamnya dihalang daripada hadir ke prosiding mahkamah adalah tidak tepat dan tidak menggambarkan keadaan sebenar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, tindakan pegawai JIM pada hari kejadian dibuat berasaskan Tatacara Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

"JIM sentiasa memastikan setiap keputusan dibuat berpandukan undang-undang, dokumen yang berkaitan, dan maklumat yang dikemukakan semasa pemeriksaan.

"Jabatan juga menasihatkan semua individu yang tertakluk kepada NAS supaya mematuhi syarat kemasukan dan mengemukakan dokumen sokongan yang lengkap bagi mengelakkan sebarang kesulitan di pintu masuk negara," katanya.

Untuk rekod, Albert didakwa di Mahkamah Rasuah Kota Kinabalu, di sini berkaitan kes rasuah berkaitan perlesenan lombong mineral bersama dua lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini.

 

 

Ringkasan AI

  • Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menolak kemasukan Albert Tei ke Sabah kerana dia tidak mengemukakan bukti sokongan untuk tujuan bertemu rakan
  • Nama Albert Tei tersenarai dalam rekod Notis Arahan Sekatan (NAS) yang masih aktif, hanya dibenarkan masuk untuk menghadiri prosiding mahkamah
  • Albert tidak mengemukakan dokumen atau surat panggilan mahkamah semasa pemeriksaan, menyebabkan dikeluarkan Notis Penolakan Masuk
  • Tindakan pegawai JIM berdasarkan Tatacara Operasi Standard (SOP) dan undang-undang tanpa dipengaruhi pihak lain
  • Albert Tei sebelum ini didakwa berkaitan kes rasuah dan perlesenan lombong mineral bersama dua lagi Ahli Dewan Undangan Negeri di Sabah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!