Bertemu jodoh dengan rakan sekolah selepas 40 tahun terpisah

Zul A'ini dan Alias selamat diijabkabulkan pada 11 Oktober lalu.
Zul A'ini dan Alias selamat diijabkabulkan pada 11 Oktober lalu.
A
A
A

SEREMBAN - Rencana ALLAH tiada siapa yang tahu apabila dua rakan sekolah yang terpisah lebih 40 tahun bertemu jodoh bersama selepas kedua-duanya kematian pasangan dua tahun lalu.

Lebih menarik lagi, Zul A'ini Ariffin, 58 telah dilamar suaminya Alias Yahaya, 58 di tempat pertemuan semula Nabi Adam dan Hawa iaitu di Jabal Rahmah dan kemudian mengikat tali pertunangan di hadapan Kaabah di Makkah.

Mereka kini sah bergelar suami isteri selepas diijabkabulkan pada 11 Oktober lalu di Masjid Dato' Klana Petra Lela Mohd Yusof di Sikamat di sini.

Menceritakan pertemuan semula dengan suami, Zul A'ini berkata, mereka bertemu semula pada tahun 2019 di Baling, Kedah ketika hadir ke majlis kenduri seorang kawan.

"Saya dan suami sebenarnya pernah sekelas dari Tingkatan Satu hingga Tiga, tapi terputus hubungan selepas suami berpindah ke sekolah Sains.

"Kami kawan-kawan sekolah ini mula berhubung semula selepas menubuhkan kumpulan WhatsApp pada tahun 2016 dan saya terserempak dengan suami tiga tahun kemudian dalam satu majlis kenduri kawan kami di Kedah yang mana ketika itu dia datang bersama isterinya yang berkerusi roda,'' katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Bagaimanapun katanya, pertemuan itu berlalu begitu saja ditambah pula dia yang masih berstatus isteri orang sehinggalah arwah suaminya meninggal dunia, dua tahun lalu akibat kencing manis.

Dia terdetik untuk menghubungi Alias selepas diberitahu seorang rakan yang isteri kepada lelaki terbabit yang menghidap penyakit kencing manis telah pun meninggal dunia.

"Memandangkan kami saling mengenali, saya mesej dia di aplikasi TikTok dan ucapkan takziah serta menasihatkannya supaya tidak berterusan bersedih.

Artikel Berkaitan:

"Lagi pun saya juga baru merasai kehilangan suami dan sejak itu kami berkawan," katanya.

Gambar kenangan Zul A'ini dan Alias yang merupakan satu kelas di Sekolah Menengah Kuala Pegang, Baling Kedah pada tahun 1980.
Gambar kenangan Zul A'ini dan Alias yang merupakan satu kelas di Sekolah Menengah Kuala Pegang, Baling Kedah pada tahun 1980.

Jelas Zul A'ini, ketika itu tidak terlintas dalam fikirannya yang ingin membawa perhubungan itu ke fasa seterusnya ditambah pula dengan usianya yang sudah lebih 50 tahun.

Namun ujarnya, selepas beberapa hari berhubung, Alias secara tiba-tiba bergurau mengajaknya berkahwin.

Tambahnya, gurauan itu juga tidak pernah dianggapnya sebagai serius tetapi setiap hari Alias tidak pernah lupa untuk mengubunginya bertanya khabar.

"Dari situlah hubungan kami jadi lebih rapat dan saya juga beritahu telah merancang menunaikan umrah pada bulan Ogos ini.

"Dia kemudiannya beritahu nak pergi juga dan berhasrat melamar saya di sana. Dari situ saya nampak dia memang serius dan telah maklum kepada anak-anak serta adik mengenai perkara itu," katanya.

Pada awalnya, kata ibu kepada empat anak dan enam cucu ini, ada anak-anaknya yang kurang bersetuju kerana bimbang dia dipermainkan.

Namun selepas diceritakan keikhlasan hati Alias, mereka memberi restu dan kali pertama berjumpa kesemuanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ketika mahu pergi menunaikan umrah.

"Sebelum pergi umrah itu pun kami dah hantar borang nikah dan tetapkan tarikh untuk diijabkabulkan selepas ahli keluarga masing-masing bersetuju.

"Sepanjang di sana pun, saya banyak berdoa kepada ALLAH, jika Alias ini baik untuk saya dekatkanlah kami dan di hadapan Kaabah kami bertunang dengan bersaksikan adik perempuan, sepupu serta anak saudara dan mutawif," katanya.

Jelasnya, selepas 40 hari pulang sebaik selesai menunaikan umrah mereka disatukan di Seremban.

Sementara itu katanya, dia mengakui tidak pernah terfikir untuk berkahwin lagi selepas kematian suami, namun hatinya terpaut selepas berkawan dengan Alias.

"Selepas suami meninggal, saya memang tak terfikir pun nak kahwin semula dan dah merancang duduk di sekolah pondok belajar agama, tapi anak-anak tak izinkan.

"Dengan takdirnya, saya bertemu pula dengan Alias yang merupakan rakan lama sekolah dan selepas buat solat istiqarah, ALLAH beri petunjuk dan bukakan hati saya," katanya.

 

Ringkasan AI

  • Dua rakan sekolah terpisah lebih 40 tahun bertemu jodoh selepas kematian pasangan
  • Alias melamar Zul A'ini di Jabal Rahmah dan mengikat tali pertunangan di hadapan Kaabah
  • Kedua-duanya diijabkabulkan sebagai suami isteri pada 11 Oktober lalu
  • Mula berhubungan kembali selepas bertemu dalam majlis kenduri kawan pada tahun 2019
  • Anak-anak memberi restu setelah diceritakan tentang keikhlasan hati Alias

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!