Pengangkut migran Indonesia dipenjara setahun biarkan 10 PATI di rumah

Seorang 'transporter' Indonesia dihukum penjara setahun oleh Mahkamah Sesyen Klang pada Jumaat selepas didakwa membiarkan 10 migran haram dari negara sama tinggal di sebuah rumah sementara menunggu untuk pulang ke negara asal.
Seorang 'transporter' Indonesia dihukum penjara setahun oleh Mahkamah Sesyen Klang pada Jumaat selepas didakwa membiarkan 10 migran haram dari negara sama tinggal di sebuah rumah sementara menunggu untuk pulang ke negara asal.
A
A
A

KLANG - Tindakan seorang 'transporter' atau pengangkut pendatang asing warga Indonesia membiarkan 10 migran haram dari negara sama tinggal di sebuah rumah sementara menunggu untuk pulang ke negara asal, mengundang padah apabila dia dihukum penjara setahun oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat.

Eddy Syahputra, 38, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan pilihan yang dibaca di hadapan Hakim, Mohd Sabri Ismail.

Mahkamah memerintahkan lelaki yang juga tukang pasang siling dipenjara bermula tarikh tangkap, 4 Februari lalu.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa telah membenarkan 10 migran haram terdiri daripada sembilan lelaki dan seorang wanita berusia 28 hingga 40 tahun itu tinggal di sebuah unit pangsapuri di Bandar Puncak Alam di sini pada jam 3 pagi 4 Februari lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 55E(1) Akta Imigresen 1959/63 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 55E(2) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda antara RM5,000 hingga RM30,000 atau dipenjara tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, lelaki itu mengaku menjadi pengangkut migran bersama seorang pembantu wanita telah menunjukkan lokasi yang menempatkan semua pendatang tersebut kepada polis.

Hasil siasatan mendapati, pemilik kediaman tersebut telah menyewakan rumah berkenaan kepada seorang lelaki tempatan namun tidak lagi tinggal di lokasi itu.

Penyewa telah meletakkan kunci rumah di bawah botol di hadapan rumah kemudian tertuduh menduduki unit tersebut secara tidak sah kerana rumah tidak berkunci.

Artikel Berkaitan:

Semasa prosiding, tertuduh yang memakai baju T berwarna putih, memohon maaf atas kesalahan yang dilakukan.

"Saya mohon mahkamah meringankan hukuman, kerana perlu menyara keluarga termasuk tiga anak yang masih kecil dan bersekolah," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Norhidayah Abdullah Sani mencadangkan mahkamah menjatuhi tertuduh hukuman berbentuk pencegahan kerana kesalahan yang dilakukan sangat serius dan mengancam keselamatan negara.

"Mahkamah juga perlu mengambil kira jumlah migran yang ramai, berada di rumah tersebut.

"Faktor kepentingan awam juga melebihi kepentingan peribadi tertuduh selain memberi pengajaran kepada orang lain supaya tidak melakukan perkara sama," katanya.

 

Ringkasan AI

  • Seorang 'transporter' Indonesia dihukum penjara setahun kerana membiarkan 10 migran haram tinggal di pangsapuri
  • Dia mengaku bersalah atas tuduhan membenarkan migran haram tinggal
  • Hukuman bermula tarikh tangkap, 4 Februari
  • Pendakwaan mengikut Seksyen 55E(1) Akta Imigresen yang memperuntukkan denda atau penjara
  • Tertuduh memohon keringanan hukuman kerana perlu menyara keluarga

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!