Indonesia beli 42 jet pejuang dari China, pertama kali pilih pesawat bukan buatan Barat

Pesawat J-10 milik Tentera Udara Pembebasan Rakyat China (PLAAF) terbang dalam formasi rapat pada 24 November 2015. Foto AFP
Pesawat J-10 milik Tentera Udara Pembebasan Rakyat China (PLAAF) terbang dalam formasi rapat pada 24 November 2015. Foto AFP
A
A
A

JAKARTA – Indonesia mengumumkan rancangan pembelian 42 jet pejuang buatan China jenis Chengdu J-10C, menandakan perjanjian pertahanan pertama negara itu melibatkan pesawat bukan keluaran Barat.

Menteri Pertahanan, Sjafrie Sjamsoeddin berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada pelan pemodenan ketenteraan Indonesia bagi memperkukuh keupayaan pertahanan udara negara.

“Mereka akan terbang di ruang udara Jakarta tidak lama lagi,” katanya kepada media pada Rabu, namun enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai urus niaga tersebut.

Jurucakap Kementerian Pertahanan, Brigadier Jeneral Frega Wenas sebelum ini mengesahkan bahawa Tentera Udara Indonesia sedang menilai prestasi jet buatan China itu bagi memastikan ia benar-benar mampu mengukuhkan sistem pertahanan negara.

Menteri Kewangan, Purbaya Yudhi Sadewa turut mengesahkan bahawa kementeriannya telah meluluskan peruntukan melebihi AS$9 bilion (RM38 bilion) bagi pembelian pesawat berkenaan.

“Segala persiapan sudah selesai, cuma kami perlu semak semula bila pesawat tersebut akan tiba dari Beijing,” katanya.

Pemerhati pertahanan berpendapat pembelian itu berpotensi menimbulkan sensitiviti geopolitik di rantau ini kerana Indonesia selama ini bergantung kepada pesawat buatan Amerika Syarikat, Rusia dan Britain.

Di bawah pentadbiran Presiden Prabowo Subianto, Indonesia giat memperkukuh sektor pertahanan dengan menjalin kerjasama ketenteraan bersama pelbagai negara termasuk China, Perancis, Rusia, Turkiye dan Amerika Syarikat.

Jun lalu, Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan turut mengumumkan bahawa negaranya akan mengeksport 48 jet pejuang KAAN ke Indonesia, menunjukkan komitmen Jakarta untuk memperluas sumber peralatan pertahanannya di luar pengaruh Barat. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Indonesia mengumumkan rancangan pembelian 42 jet pejuang Chengdu J-10C dari China
  • Langkah ini adalah sebahagian daripada pelan pemodenan ketenteraan Indonesia
  • Menteri Kewangan telah meluluskan peruntukan lebih dari AS$9 bilion untuk pembelian ini
  • Pembelian berpotensi menimbulkan sensitiviti geopolitik di kawasan
  • Presiden Prabowo Subianto memperkuat pertahanan dengan menjalin kerjasama militer dengan pelbagai negara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!