139 pekerja migran Indonesia dihantar pulang dari Malaysia

SULAWESI SELATAN – Seramai 139 pekerja migran Indonesia (PMI) tanpa dokumen sah dihantar pulang dari Malaysia melalui Pelabuhan Nusantara Parepare, Sulawesi Selatan, pada pagi Jumaat.
Mereka tiba sekitar jam 9 pagi waktu tempatan, menaiki kapal KM Thalia, sambil mengenakan pakaian seragam berwarna coklat.
Menurut Penyelaras Pos Perkhidmatan Perlindungan Pekerja Migran Indonesia (P4MI) Parepare, La Ode Nur Slamet, jumlah keseluruhan pekerja migran yang dihantar pulang dari Malaysia adalah 250 orang, dengan 139 orang melalui Parepare dan selebihnya ke Nunukan.
“Daripada jumlah itu, 114 orang berasal dari Sulawesi Selatan. Masalah utama mereka adalah ketiadaan dokumen perjalanan seperti pasport, permit kerja tamat tempoh dan juga kes jenayah tertentu,” katanya.
Difahamkan, sebelum dihantar pulang, semua PMI terbabit telah ditahan pihak Imigresen Malaysia di Tawau, Sabah kerana melanggar syarat imigresen.
Sebaik tiba di Pelabuhan Parepare, mereka didaftar dan diberi makanan sebelum diarah pulang ke daerah masing-masing.
“Bagi mereka yang berasal dari luar Sulawesi Selatan, kami akan berhubung dengan kerajaan tempatan masing-masing untuk urusan kepulangan. Semua kos ditanggung oleh kerajaan,” jelas La Ode.
Antara yang dihantar pulang ialah Rian, seorang pekerja migran dari Pinrang yang mendakwa telah bekerja di sebuah syarikat kelapa sawit di Malaysia selama 18 tahun.
Katanya, dia memiliki dokumen lengkap ketika bekerja, namun berdepan masalah selepas meletak jawatan pada 2024 apabila syarikat enggan memulangkan dokumen asal miliknya.
“Saya sebenarnya ada dokumen, tapi selepas berhenti kerja, syarikat tidak kembalikan. Akibatnya saya ditahan pihak Imigresen Malaysia selama 11 bulan di Tawau,” katanya.
Kerajaan Indonesia sebelum ini menegaskan komitmen untuk terus memantau nasib rakyatnya yang bekerja di luar negara, terutama mereka yang berhadapan risiko penipuan, eksploitasi atau dihantar pulang tanpa dokumen sah.- Agensi
Ringkasan AI
- Seramai 139 pekerja migran Indonesia tanpa dokumen sah dihantar pulang dari Malaysia melalui Pelabuhan Nusantara Parepare
- Mereka tiba di Parepare menggunakan kapal KM Thalia dan mengenakan pakaian seragam berwarna coklat
- Jumlah keseluruhan pekerja migran yang dihantar pulang adalah 250 orang, dengan sebahagiannya ke Nunukan
- Masalah utama termasuk tiada dokumen perjalanan seperti pasport, permit kerja tamat tempoh dan kes jenayah
- Sebelum dihantar pulang, semua pekerja tersebut ditahan oleh Imigresen Malaysia di Tawau, Sabah kerana melanggar syarat imigresen
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

