'Baca doa yah... tolong!'- Detik cemas banjir di Taiping tular

IPOH - “Baca doa yah... tolong... dah sampai ni dah!” Jeritan seorang wanita yang kedengaran dalam video tular memaparkan detik mencemaskan ketika banjir melanda kawasan perumahan di Taiping pada Khamis.
Dalam rakaman berdurasi kira-kira 19 saat itu, suara tangisan dan laungan Allahuakbar kedengaran sayup di sebalik limpahan air yang sudah mencecah paras pinggang.
Menerusi rakaman sama, seorang lelaki kedengaran menzahirkan kegusaran terhadap keselamatan keluarganya.
“Habislah rumah aku... kesian anak aku ni... aku takut anak aku ni... Allahuakbar,” katanya.
Menerusi perkongsian gambar di media sosial, kelihatan seorang lelaki menggendong tinggi bayi kecil sambil bergelut menyelamatkan diri dan ahli keluarga.

Ada mangsa turut dilihat memanjat bumbung kenderaan untuk berlindung sementara menunggu bantuan tiba.
Suasana pilu itu mengundang rasa simpati warga maya apabila ramai berkongsi semula video berkenaan dengan doa dan pesanan supaya penduduk di kawasan terjejas segera berpindah ke tempat selamat.
Kejadian dipercayai berlaku akibat hujan lebat berterusan sejak petang menyebabkan air melimpah masuk ke kawasan kediaman.
Buat masa ini, pihak berkuasa bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sedang menjalankan operasi pemindahan dan pemantauan bagi memastikan keselamatan semua mangsa di kawasan terjejas.
Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) Perak memaklumkan, sebanyak enam pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka sejak jam 7.30 malam.

PPS yang dibuka ialah Dewan Orang Ramai Simpang Halt, Dewan Orang Ramai Sungai Baru Trong, Dewan Perdana Trong, Dewan Serbaguna Masjid Al Wusta Batu 8, Masjid Ali Rouse dan Sekolah Kebangsaan Simpang.
Jumlah mangsa dan keluarga terlibat masih dalam proses pemindahan.
Dalam masa sama, di daerah Manjung, PPS Sekolah Sungai Batu, Pantai Remis telah dibuka jam 8 malam bagi menempatkan 180 mangsa daripada 44 keluarga selepas kediaman mereka di Kampung Sungai Batu dan Kampung Nelayan terjejas banjir.
PPS Sekolah Agama Rakyat Padang Serai, Pengkalan Baru pula dibuka pada jam 8.30 malam dengan proses pemindahan mangsa dari Kampung Padang Serai masih dilaksanakan.
Ringkasan AI
- Jeritan wanita dan laungan Allahuakbar kedengaran dalam video tular ketika banjir melanda Taiping
- Seorang lelaki dilihat menggendong bayi sambil bergelut menyelamatkan keluarganya dari banjir
- Mangsa banjir turut memanjat bumbung kenderaan menunggu bantuan
- Hujan lebat menyebabkan air melimpah ke kawasan kediaman
- Pihak berkuasa dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menjalankan operasi pemindahan mangsa banjir
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

