'Bayi saya menangis tak henti' - Bapa kongsi detik cemas banjir di Taiping

TAIPING - Bayi yang gambarnya tular dikendong seorang lelaki ketika meredah banjir di Taman Larah Damai di sini pada Khamis dilaporkan berada dalam keadaan sihat.
Mohamad Fareez Anaqi berusia tiga bulan, berjaya dibawa keluar ke kawasan selamat hasil bantuan penduduk.
Bapa bayi tersebut, Mohamad Syammir Muzammir Azhar, 22, mengakui berasa cemas pada malam kejadian kerana bayinya menangis tanpa henti.
"Anak saya menangis sepanjang kejadian. Kami tidak dapat tidur malam itu. Semua masih trauma, terkejut dan takut.
"Saya ikhtiar mencari air penawar. Alhamdulillah keadaan bayi kami beransur baik dan boleh tidur lena," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Jumaat.
Berkongsi detik mencemaskan itu, Mohamad Syammir Muzammir berkata, ketika banjir berlaku, dia sedang bekerja dan hanya mengetahui keadaan rumahnya ditenggelami air selepas menerima panggilan daripada ibu.
"Semasa saya tiba berhampiran rumah sekitar jam 7.30 malam, air sudah naik hingga paras bumbung, saya tidak dapat masuk ke kawasan rumah.
“Saya hanya mampu berdiri di tanah tinggi sambil menangis melihat orang ramai cuba menyelamatkan keluarga, jiran dan anak-anak kecil," katanya.
Tambah beliau, nasib mereka baik apabila ada beberapa individu datang membantu dan menggunakan tali untuk menarik kanak-kanak dan warga emas yang terperangkap di rumah.
"Arus air ketika itu terlalu kuat. Isteri saya duduk di atas kereta sementara seorang lelaki memegang anak saya. Semua bayi dan kanak-kanak diletakkan dalam kolam tiup kecil untuk keselamatan," katanya.
Mohamad Syammir Muzammir dan isteri, Nur Fatin Nafasha Arisam, 20, telah menyewa rumah tersebut lebih dua tahun dan ini adalah kali pertama banjir seteruk itu berlaku di kawasan mereka.
“Saya tak sempat mengenali individu yang mengendong bayi saya itu. Apa pun, terima kasih kepada individu tersebut yang sanggup mengambil risiko menyelamatkan kami.
"Berkat mereka, kami semua berjaya keluar dengan selamat," tambahnya.
Ringkasan AI
- Bayi berusia tiga bulan, Mohamad Fareez Anaqi, selamat dibawa keluar dari banjir bersama penduduk setempat
- Mohamad Syammir Muzammir Azhar berasa cemas kerana bayinya menangis sepanjang malam kejadian
- Banjir menyebabkan mereka tidak dapat tidur dan merasa trauma
- Situasi banjir begitu teruk sehingga air naik hingga paras bumbung rumah mereka
- Beberapa individu dengan berani membantu menyelamatkan kanak-kanak dan warga emas dengan menggunakan tali
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

