Inkues Zara Qairina: Saksi beritahu Mahkamah Koroner namanya pernah dicatat oleh Zara Qairina

Inkues kematian Zara Qairina Mahathir di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu.
Inkues kematian Zara Qairina Mahathir di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU – Saksi ke-28 dalam inkues Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner di sini bahawa namanya pernah dicatat oleh pelajar Tingkatan Satu itu kerana tidak menunaikan solat.

Saksi yang juga kanak-kanak ke-19 memaklumkan perkara itu dalam keterangannya secara in camera di hadapan Hakim Koroner, Amir Shah Amir Hassan pada Rabu.

Peguam Mohd Syarulnizam Mohd Salleh berkata, saksi berkenaan merupakan pelajar junior yang belajar dalam kelas sama dengan Zara Qairina dan tinggal di aras serta blok yang sama.

“Saksi mengenali Zara sebagai kawan tetapi mereka tidak rapat. Saksi kata Zara ialah seorang yang ceria, mudah bergaul dan suka menolong kawan di kelas. Kadangkala Zara tertidur dalam kelas.

“Saksi berkata mereka ada berbual dan pergi ke kantin bersama. Saksi berkata perbualan mereka biasanya berkaitan pelajaran sahaja. Zara tidak pernah mengadu sebarang masalah peribadi, tekanan, atau menunjukkan tanda kemurungan.

“Saksi berkata dia tahu mengenai Zara yang menulis nama orang yang tidak menunaikan solat. Namanya juga pernah dicatat oleh Zara. Saksi pernah melihat Zara menulis diari namun tidak pernah membaca kandungannya. Dia dapat mengecam Zara yang selalu menulis di sebuah buku hijau bertajuk Love and Peace,” katanya kepada pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, di sini.

Katanya lagi, pada malam 15 Julai lalu, saksi berada di bilik asrama sendiri dan tidak mendengar mengenai kejadian Zara Qairina dipanggil berjumpa dengan pelajar senior.

“Saksi tidak nampak atau berjumpa dengan Zara. Saksi menjelaskan dia pernah kehilangan barang pada awal bulan Julai 2025. Pada hari tersebut, kira-kira pukul 4 petang, saksi dan rakan pelajar junior keluar dari bilik asrama untuk minum petang di dewan makan.

“Saksi ada meninggalkan beg sekolah bersama jagaan rakan untuk ke tandas. Selepas dari tandas, saksi mendapati beg sekolahnya dalam keadaan tidak terjaga dan mendapati pin bendera Malaysia yang disimpan di beg sekolahnya telah hilang.

Artikel Berkaitan:

“Saksi bertanya kepada rakan tetapi dia juga tidak nampak apa-apa. Pada kira-kira pukul 10 malam pada hari yang sama, saksi berjumpa dengan pelajar senior yang merupakan ahli Badar untuk melaporkan kehilangan pin bendera tersebut.

“Saksi berkata dia boleh mengecam pin bendera kepunyaannya kerana terdapat nama dan kelas pada pin tersebut. Saksi berkata pin bendera Malaysia yang hilang itu tidak pernah dijumpai. Saksi hanya memakai pin bendera lain,” katanya.

Mohd Syarulnizam berkata, saksi ada mendengar mengenai kes kecurian duit dan pelajar ada menuduh Zara Qairina kerana hanya beg pelajar itu yang tidak diperiksa.

“Tetapi apabila pelajar memeriksa beg Zara, tiada apa-apa yang dijumpai dalam beg tersebut,” katanya.

Sementara itu, bercakap mengenai Mesyuarat Aras (MA), saksi menyatakan dia tidak pernah dipanggil atau dimarahi oleh pelajar senior dan mesyuarat itu biasanya berkaitan kebersihan.

Katanya lagi, saksi berkata dia tahu ada rakan pelajar junior yang melakukan ‘barcode’, namun dia tidak tahu sama ada Zara turut melakukannya.

Mohd Syarulnizam bersama rakan sepasukannya, Shahlan Jufri, Rizwandean M. Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan Jame hadir sebagai pihak berkepentingan dalam inkues ini bagi mewakili ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat.

Allahyarham Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu sebelum meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) pada keesokan harinya.

Ringkasan AI

  • Saksi ke-28 dalam inkues Zara Qairina Mahathir mencatat nama pelajar yang tidak menunaikan solat termasuk namanya sendiri
  • Saksi tersebut merupakan pelajar junior yang belajar dalam kelas yang sama dengan Zara Qairina dan tinggal di aras serta blok yang sama
  • Zara dikenali ceria, mudah bergaul dan suka menolong, tidak pernah mengadu masalah peribadi atau menunjukkan tanda kemurungan
  • Saksi pernah kehilangan pin bendera Malaysia dari beg sekolahnya dan tidak pernah menemukannya kembali
  • Saksi tidak pernah dipanggil atau dimarahi dalam Mesyuarat Aras yang biasanya berkaitan dengan kebersihan dan tidak tahu mengenai Zara melakukan 'barcode'

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!