Takiyuddin dakwa kenderaan mencurigakan parkir berhampiran rumah Abdul Hadi

Takiyuddin menunjukkan rakaman pergerakan beberapa individu yang didakwa mencurigakan di Masjid Rusila, Marang.
Takiyuddin menunjukkan rakaman pergerakan beberapa individu yang didakwa mencurigakan di Masjid Rusila, Marang.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa memberikan penjelasan menyeluruh berhubung insiden di Masjid Rusila, Marang yang menimbulkan kebimbangan terhadap aspek keselamatan terutamanya melibatkan pemimpin tertinggi Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, insiden tersebut berlaku pada 19 September lalu di Masjid Rusila yang terletak bersebelahan dengan kediaman Abdul Hadi.

Menurutnya, hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan beberapa pergerakan mencurigakan oleh beberapa individu.

“Antaranya, satu dalam CCTV ini menunjukkan tiga individu lelaki berpakaian biasa memasuki ruang solat wanita berhampiran tandas wanita dalam keadaan tergesa-gesa dan mencurigakan. Saya dibekalkan dengan gambar.

“Kemudian yang keduanya, kelihatan sebuah kereta berwarna perak yang dinaiki oleh dua individu lelaki diletakkan di tepi pagar kediaman Ahli Parlimen Marang (Tan Sri Abdul Jadi Awang) bersebelahan Masjid Rusila dalam keadaan mencurigakan,” katanya pada sidang media di Parlimen pada Khamis.

Tambah Ahli Parlimen Kota Bharu itu, rakaman CCTV turut memaparkan beberapa perwatakan dan pergerakan yang mencetuskan keresahan awam, termasuk pelbagai andaian terhadap keselamatan Abdul Hadi, keluarga serta masyarakat setempat.

“Ini termasuk persoalan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang digunakan bagi latihan oleh agensi di bawah KDN, terutama yang berbentuk pasukan komando. Maka, penjelasan daripada Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) amat dituntut.

“Segala aktiviti berbentuk penyamaran, penyusupan dan pelolosan yang amat mencurigakan ini dijalankan tanpa pemakluman atau permohonan kepada pihak pengurusan Masjid Rusila sebelum hari kejadian,” dakwanya.

Tambah beliau, pihak pengurusan masjid telah membuat laporan polis dan menyerahkan rakaman CCTV berkenaan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Pada Rabu, Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah menafikan dakwaan kononnya pasukan elit agensi itu melakukan serbuan di Masjid Rusila.

Beliau berkata, tuduhan yang dibuat oleh Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu itu tidak berasas serta menjejaskan imej pasukan keselamatan dan moral anggota elit negara.

Jelasnya, Maritim Malaysia tidak pernah dan tidak akan menjadikan rumah ibadah sebagai lokasi serbuan atau operasi.

Beliau memaklumkan bahawa aktiviti yang dimaksudkan sebenarnya merupakan sebahagian daripada latihan taktikal Survival, Evasion, Resistance and Escape (SERE) yang dijalankan oleh Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team).

Masjid berkenaan katanya, hanya dijadikan lokasi beriktikaf dan berehat selepas menunaikan solat Asar sebelum pelatih menerima tugasan seterusnya, malah pihak masjid juga dimaklumkan lebih awal mengenai kehadiran mereka.

Sementara itu, Jawatankuasa Masjid Rusila menafikan menerima sebarang permohonan atau memberi kebenaran kepada Maritim Malaysia berhubung aktiviti tersebut.

Pengerusinya, Mohd Azri Abdul Aziz berkata, pihaknya tidak pernah menerima permohonan secara bertulis atau lisan daripada agensi tersebut berkenaan latihan yang dinyatakan dalam kenyataan rasmi Ketua Pengarah Maritim Malaysia pada Rabu.

Ringkasan AI

  • Kementerian Dalam Negeri digesa memberikan penjelasan berhubung insiden mencurigakan di Masjid Rusila, Marang berdekatan kediaman Abdul Hadi Awang
  • Insiden melibatkan beberapa pergerakan mencurigakan oleh individu dan kenderaan yang direkodkan melalui CCTV
  • Rakaman CCTV mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan Abdul Hadi Awang, keluarga, dan masyarakat setempat
  • Maritim Malaysia menafikan melakukan serbuan di masjid sebagai sebahagian dari latihan taktikal dan menyatakan masjid hanya dijadikan lokasi beriktikaf
  • Jawatankuasa Masjid Rusila menafikan menerima sebarang permohonan atau kebenaran kepada Maritim Malaysia untuk menjalankan aktiviti tersebut

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!