Kes pukul paling tinggi babit pelajar sekolah di Melaka

Dzulkhairi (tengah) beramah mesra dengan pelajar sekolah berkenaan.
Dzulkhairi (tengah) beramah mesra dengan pelajar sekolah berkenaan.
A
A
A

MELAKA - Kes pukul dan serangan fizikal direkodkan sebagai indeks paling tinggi dalam keseluruhan statistik jenayah kekerasan membabitkan pelajar sekolah di Melaka dalam tempoh sembilan bulan tahun ini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, dalam tempoh bermula Januari itu seramai 18 pelajar ditahan atas kesalahan di bawah Seksyen 324, 325 dan 326 Kanun Keseksaan seperti mendatangkan cedera, mendatangkan cedera dengan senjata dan mendatangkan cedera parah dengan senjata.

Dzulkhairi ketika ditemui pemberita di Bukit Baru pada Khamis.
Dzulkhairi ketika ditemui pemberita di Bukit Baru pada Khamis.

Menurutnya, tahun lalu sebanyak 27 kes direkodkan bagi kesalahan pukul dan walaupun data menunjukkan sedikit penurunan berbanding tahun 2024, namun kesalahan jenayah ini merupakan paling tinggi direkodkan dalam kalangan pelajar sekolah.

"Berdasarkan statistik kesalahan pukul bukan sahaja melibatkan kecederaan ringan, namun beberapa kes telah menyebabkan kecederaan parah terhadap mangsa.

"Ini termasuk dengan penggunaan senjata, yang mana kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan mengejut di sebuah sekolah menengah di Bukit Baru di sini pada Khamis.

Beliau berkata, secara keseluruhan, sebanyak 36 kes jenayah kekerasan pelajar direkodkan di Melaka dari Januari hingga September lalu.

Malah katanya, kategori kedua tertinggi membabitkan Seksyen 376 Kanun Keseksaan atas kesalahan rogol dengan sebanyak 12 kes direkodkan.

"Diikuti kes di bawah Seksyen 394 dan 395 Kanun Keseksaan iaitu merompak dan merompak secara berkumpulan sebanyak empat kes.

Artikel Berkaitan:

“Kita turut merekodkan dua kes bunuh masing-masing di daerah Melaka Tengah dan Jasin," jelasnya.

Menurut beliau, dalam tempoh sama, polis turut mencatat 32 kes jenayah harta benda, dengan kecurian kenderaan bermotor menjadi kes tertinggi sebanyak 12 kes, diikuti pecah rumah (16 kes) dan kecurian lain (lima kes).

Dalam perkembangan lain, Dzulkhairi berkata, polis turut merampas beberapa barang larangan yang dibawa pelajar ke sekolah ketika lawatan mengejut berkenaan, termasuk kad terup dan telefon bimbit.

Katanya, kontinjen polis Melaka memulakan lawatan rawak ke empat sekolah menengah pada Khamis, yang dilaksanakan sendiri oleh pegawai kanan termasuk Ketua Polis Daerah di ketiga-tiga daerah.

“Inisiatif ini adalah sebahagian pelaksanaan arahan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memastikan keselamatan dan disiplin pelajar sentiasa dipantau dan akan dilakukan secara berterusan," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!