9 pelajar direman kes pukul pelajar Tingkatan Dua di Kemaman

KEMAMAN – Sembilan pelajar sekolah menengah direman selama tiga hari bermula Isnin bagi membantu siasatan berhubung kes pukul seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun yang berlaku pada akhir Mei lalu.
Perintah reman terhadap kesemua pelajar lelaki berusia antara 15 hingga 18 tahun itu dikeluarkan oleh Hakim Wan Suhaila Mohd bagi membolehkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, kesemua suspek yang bersekolah di daerah ini ditahan kira-kira jam 1.30 tengah hari pada Ahad selepas polis menerima laporan daripada mangsa.
“Mangsa mendakwa dia telah dipukul oleh beberapa pelajar lain dalam dua kejadian berasingan yang berlaku pada 27 dan 28 Mei lalu.
“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada rasa tidak puas hati seorang suspek terhadap mangsa kerana masih menyimpan gambar bekas teman wanita suspek, yang kini dipercayai menjadi kekasihnya,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Menurut Mohd Razi, mangsa yang merupakan pelajar Tingkatan Dua dipukul oleh suspek bersama beberapa rakannya hingga menyebabkan kecederaan pada beberapa bahagian badan termasuk kepala dan belakang.
“Kes masih dalam tindakan dan pihak polis sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung insiden tersebut,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!