Seleweng diesel subsidi, dua pemandu lori masing-masing didenda RM45,000, RM10,000

SEREMBAN - Padah memiliki diesel subsidi secara borong tanpa lesen sah, dua pemandu lori masing-masing didenda RM45,000 dan RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis.
Hakim Datin Surita Budin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh U C Kesavan, 33 dan E Parthiban, 34, selepas mereka mengaku salah atas pertuduhan masing-masing.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara 12 bulan terhadap Kesavan manakala lima bulan terhadap Parthiban sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Selain itu, dua lori diarahkan dilucut hak kepada kerajaan Malaysia dan hasil jualan diesel sebanyak RM4,700 dan RM23,500 turut diserahkan kepada kerajaan.
Mengikut pertuduhan terhadap Kesavan, dia bersama P R Letchuman Rau, 32, didakwa memiliki dalam kawalan mereka barang kawalan, barang berjadual iaitu 9,725 liter diesel dalam keadaan menimbulkan syak yang munasabah untuk melanggar Peraturan 3(1) Peraturan- Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan diesel secara borong tanpa lesen.
Parthiban pula didakwa bersama Letchuman melakukan kesalahan sama membabitkan 706 liter diesel.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 3 petang di dalam muatan lori masing-masing di sebuah stor di Jalan PS 2/3, Taman Pinggiran Senawang di sini, pada 7 Februari 2024.
Kesalahan di bawah Peraturan 21(1) Peraturan-Peraturan yang sama dibaca bersama seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta yang sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kali kedua dan berikutnya, didenda tidak melebihi RM5 juta atau tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Shafiq Mahadi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira kekerapan dan keseriusan kes penyelewengan diesel bersubsidi.
Peguam, S Virochean yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon mahkamah supaya menjatuhkan hukuman berbentuk denda yang minimum.
Ini kerana katanya, kedua-dua tertuduh yang bekerja sebagai pemandu lori sudah berkahwin dan perlu menanggung keluarga, ibu bapa serta adik-beradik lain.
Letchuman Rau yang sebelum itu mengaku tidak bersalah dilepaskan tanpa dibebaskan selepas dimohon oleh Shafiq.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

