[VIDEO] 'Kami takut, ombak tinggi sampai bumbung'

A
A
A

SUNGAI PETANI – “Kami takut... nampak ombak tinggi sampai ke atas bumbung.”

Demikian luahan mangsa hakisan, Shukri Hambali, 64, berhubung keadaan rumahnya di Kampung Huma, Tanjung Dawai yang terletak kira-kira 20 meter dari pesisir pantai dan dihempas ombak besar dalam kejadian pada Rabu.

Rozita dan bapa mentua, Ramli melihat keadaan hakisan di Kampung Huma, Tanjung Dawai.
Rozita dan bapa mentua, Ramli melihat keadaan hakisan di Kampung Huma, Tanjung Dawai.

Shukri mendakwa dia telah mengalami kerugian kira-kira RM10,000 akibat berulang kali meletakkan batu dan beg pasir sejak kebelakangan ini, namun kesemuanya ‘hilang’ akibat dipukul ombak kuat yang semakin serius sejak Januari lalu.

“Takutlah ombak besar naik sampai atas bumbung. Saya minta mereka buat (benteng) jauh sikit, tapi mereka buat dekat sangat dengan rumah. Nak kata apa, kerajaan yang buat... kalau jauh sikit, okay lah. Ini dalam 20 meter sahaja dari rumah.

“Mai ombak hitam kuat, terus masuk ke dalam rumah. Kejadian berlaku dari jam 12.30 tengah hari sampai jam 4 petang, ribut, hujan lebat, ombak dan angin kuat... kami sentiasa berjaga-jaga,” katanya.

Pada masa sama, Shukri merayu keprihatinan kerajaan untuk menyegerakan pembinaan benteng pemecah ombak bagi mengatasi hakisan yang semakin kritikal, sekali gus mengelakkan risiko rumah penduduk dihanyutkan.

Artikel Berkaitan:

Ombak kuat menghempas rumah penduduk Kampung Huma Tanjung Dawai.
Ombak kuat menghempas rumah penduduk Kampung Huma Tanjung Dawai.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Ramli Rejab, 71, berkata, keadaan ombak yang semakin ganas sehingga mencecah paras bumbung dan dinding rumah menimbulkan kebimbangan.

Ramli yang kurang upaya setelah kaki kanannya dipotong akibat jangkitan kuman semasa menangkul ketam tiga tahun lalu berkata, dia masih bermalam di rumah kerana pergerakan terbatas, sementara ahli keluarga lain telah berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

“Mai ombak besar-besar... takut. Masa kejadian tu, saya cuma tengok dan berjaga-jaga juga,” katanya.

Menantunya, Rozita Johari, 40, berkata, ahli keluarga sentiasa mengutamakan keselamatan bapa mentuanya yang bertongkat, namun tetap bimbang sekiranya keadaan ombak bertambah buruk.

“Mereka bagi arahan pindah, kami ikut sebab keselamatan. Bapa tak upaya... ada adik yang teman. Hari kejadian, ombak melepasi benteng batu, air dan angin sangat laju. Nak selamatkan apa pun tak sempat dah. Air masuk rumah, kami hanya sempat capai benda penting sahaja,” katanya.

Rozita berharap agar pembinaan benteng pemecah ombak yang dirancang dapat disegerakan oleh kerajaan demi keselamatan nyawa dan harta benda penduduk kampung.

“Harap benteng dapat dibina segera. Selagi tak buat, beginilah keadaan kami. Kalau pasang batu pun, tak mampu halang hakisan. Contohnya bila bina separuh, rumah kami tak kena langsung... keadaan jadi lagi teruk,” katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian pada Ogos melaporkan kejadian ombak kuat sehingga menghempas dinding rumah, menyebabkan penduduk Kampung Huma bimbang untuk tidur malam.

Rumah penduduk berisiko dihanyutkan akibat hakisan.
Rumah penduduk berisiko dihanyutkan akibat hakisan.

Menurut laporan sama, Exco Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar Kedah, Datuk Mohammad Yusof@Munir Zakaria dipetik sebagai berkata, benteng pemecah ombak sepanjang tiga kilometer akan dibina bagi menangani masalah hakisan yang semakin serius di kampung tersebut.

Projek bernilai RM20 juta itu akan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Namun, dalam kenyataan di media sosial pada 8 Oktober lalu, beliau memaklumkan bahawa kerajaan negeri telah menyediakan peruntukan RM300,000 bagi melaksanakan langkah sementara bagi mengurangkan kesan hakisan, sementara menunggu pelaksanaan projek utama oleh kerajaan Persekutuan.

 

Ringkasan AI

  • Mangsa hakisan di Kampung Huma, Tanjung Dawai mengalami kerugian RM10,000 akibat ombak besar
  • Ombak tinggi melanda rumah-rumah yang terletak 20 meter dari pesisir pantai
  • Penduduk lokal meminta pembinaan benteng pemecah ombak untuk mengatasi masalah hakisan
  • Seorang mangsa, yang kurang upaya, terpaksa tinggal di rumah kerana pergerakan yang terbatas
  • Kerajaan Persekutuan akan membiayai projek benteng pemecah ombak sepanjang tiga kilometer bernilai RM20 juta

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!