Kos tuntut semula kapal bantuan kemanusiaan dirampas Israel tinggi - Kamarul Zaman

Kamarul Zaman Foto Sinar Harian - ASRIL ASWANDI SHUKOR
Kamarul Zaman Foto Sinar Harian - ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - Usaha menuntut semula kapal bantuan kemanusiaan yang dirampas Israel bukan tugas mudah apabila kos dan proses perundangannya didakwa terlalu tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, terdapat kapal misi kemanusiaan ke Gaza yang tidak diperoleh semula sehingga kini.

"Kapal-kapal yang disekat Israel, hanya dua kapal yang berjaya dituntut semula iaitu Mavi Marmara dan Estellle. Kapal Mavi Marmara dipulangkan hasil inisiatif kerajaan Turki dan kini dijadikan kapal pelayaran di Laut Mediterranean.

"Satu lagi kapal iaitu Estelle dari Sweden pula berjaya dituntut di mahkamah serta menerima pampasan antara AS$50,000 hingga AS$100,000 (lebih RM211,000 hingga RM422,000," katanya.

Beliau berkata demikian pada program Interviu Misi Flotilla, 'Mak Online' & Apa Selepas Ini dihoskan oleh Haizir Othman yang diadakan di ibu pejabat Sinar Harian, di sini pada Rabu.

Menurutnya, kapal Conscience, Madleens dan Handala yang tersadai di pelabuhan Ashdod berkemungkinan berdepan risiko rosak serta reput sekiranya tiada tindakan undang-undang diambil.

Kata Kamarul Zaman, ia dapat dielakkan sekiranya ada usaha untuk membawa perkara itu ke mahkamah antarabangsa untuk membuat tuntutan semula.

"Bagaimanapun, ia sangat mahal. Jika hendak tuntut satu kapal sahaja pun sudah terlalu mahal kosnya berbanding kita membeli kapal yang lain," ujarnya.

Menurutnya, pihak MyCARE ada mendengar bahawa Global Sumud dan Thousand Madleens ada berusaha untuk mendapatkan semula kapal mereka yang dirampas dari Israel.

Artikel Berkaitan:

"Jadi, FFC mungkin akan terlibat sama, mungkin boleh bekerja sama dan kosnya mungkin lebih murah. Langkah itu juga bagi menambah tekanan antarabangsa terhadap Israel supaya memulangkan kapal yang dirampas,” katanya.

Kamarul Zaman turut memaklumkan bahawa pelbagai barangan bantuan kemanusiaan tidak pernah sampai ke Gaza walaupun terdapat janji menyatakan barangan itu akan diserahkan kepada pejabat mereka di wilayah berkenaan.

Ujarnya, sejak tahun 2016 hingga 2018, janji tersebut tidak pernah ditunaikan sehingga kini.

Ringkasan AI

  • Usaha menuntut kapal bantuan kemanusiaan yang dirampas Israel sangat sukar dan kos perundangannya tinggi
  • Hanya dua kapal, Mavi Marmara dan Estelle, berjaya dituntut semula dengan Estelle menerima pampasan
  • Kapal Conscience, Madleens dan Handala yang tersadai di pelabuhan Ashdod berisiko rosak tanpa tindakan undang-undang
  • Membawa hal ke mahkamah antarabangsa untuk tuntutan semula sangat mahal berbanding membeli kapal baru
  • Barangan bantuan kemanusiaan tidak sampai ke Gaza sejak 2016 hingga 2018 walaupun ada janji menyatakan akan diserahkan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!