Kastam gagalkan cubaan penyeludupan komiditi lebih RM10 juta

Mohamad Azhar menunjukkan antara barangan dirampas pihaknya dalam siri operasi dijalankan.
Mohamad Azhar menunjukkan antara barangan dirampas pihaknya dalam siri operasi dijalankan.
A
A
A

PELABUHAN KLANG – Taktik licik sindiket penyeludupan menggunakan pengikraran palsu terbongkar selepas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor merampas pelbagai komoditi bernilai lebih RM10 juta dalam beberapa siri operasi sejak Ogos lalu.

Pengarah JKDM Selangor, Mohamad Azhar Ahmad Paharazi berkata, kejayaan itu hasil risikan rapi serta tindakan pantas Bahagian Penguatkuasaan JKDM negeri.

Menurutnya, siri operasi itu berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk empat jenis barangan tanpa permit import sah melibatkan cerut, panel paparan LED, beras dan rokok elektronik (vape).

"Kesemua barangan ini diikrarkan secara tidak benar bagi mengelak keperluan permit import.

"Pemeriksaan lanjut mendapati kontena terbabit tiba dari luar negara dan dikendalikan pihak yang cuba menipu pihak berkuasa,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Kastam Pulau Indah di sini pada Rabu.

Beliau berkata, operasi yang dijalankan di Zon Bebas Pelabuhan Barat dan Zon Bebas Pelabuhan Utara itu membabitkan nilai keseluruhan rampasan termasuk duti serta cukai mencecah RM10.01 juta.

Antara barangan yang dirampas JKDM menerusi siri operasi dijalankan.
Antara barangan yang dirampas JKDM menerusi siri operasi dijalankan.

"Dalam operasi pertama pada 1 Ogos lalu, sebuah kontena bersaiz 40 kaki di Zon Bebas Pelabuhan Barat ditahan selepas pemeriksaan menemui 8,750 kilogram cerut tanpa permit import sah.

Artikel Berkaitan:

"Barangan bernilai RM6.06 juta termasuk duti dan cukai itu diikrarkan sebagai ‘Beverages & Etc’ bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya.

Katanya, pada 5 Ogos, dua kontena bersaiz 40 kaki di Zon Bebas Pelabuhan Utara pula ditahan selepas pemeriksaan menemukan 480 unit panel paparan LED bernilai RM2.52 juta termasuk duti dan cukai.

"Barangan itu diikrarkan palsu sebagai ‘Display Panel, Hand Tools & Hardware Accessories’ bagi mengelak dikesan, sedangkan pengimportannya memerlukan permit dikeluarkan Suruhanjaya Tenaga (ST),” ujarnya.

Tambah beliau, pada 28 Ogos lalu, sebuah kontena 20 kaki di Zon Bebas Pelabuhan Barat turut ditahan selepas pemeriksaan mendapati ia mengandungi 19,000 kilogram beras bernilai RM106,400 termasuk duti dan cukai.

"Barangan berkenaan diikrarkan sebagai ‘Epson Ammonium Sulphate’ bagi mengelak keperluan permit yang perlu diperoleh daripada Padiberas Nasional Berhad (BERNAS),” katanya.

Beliau berkata, hasil risikan seterusnya pada 9 September lalu membawa kepada penahanan sebuah kontena 40 kaki di lokasi sama yang mengandungi 30,000 unit rokok elektronik (vape) bersama 900,000 mililiter cecair nikotin bernilai RM1.32 juta termasuk duti dan cukai.

"Dagangan itu diikrarkan dalam manifes sebagai ‘Storage Box’ bagi mengelak dikesan, sedangkan pengimportan bahan mengandungi nikotin tertakluk kepada Permit Import dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967," katanya.

Tegasnya, JKDM akan terus memperkukuh risikan dan mempergiat operasi bagi mengekang kegiatan penyeludupan yang bukan sahaja menyebabkan ketirisan hasil negara, malah mengancam keselamatan serta kesejahteraan rakyat.

Ringkasan AI

  • Sindiket penyeludupan menggunakan pengikraran palsu terbongkar dengan rampasan lebih RM10 juta
  • Kejayaan merampas barangan tanpa permit import sah melibatkan cerut, panel paparan LED, beras dan rokok elektronik
  • Siri operasi bongkar taktik penyeludupan melibatkan pengelakan permit import dengan pengikraran tidak benar
  • Rampasan termasuk duti serta cukai mencecah nilai keseluruhan RM10.01 juta
  • Operasi pengukuhan risikan dan penguatkuasaan JKDM terus digiatkan bagi mengekang kegiatan penyeludupan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!