Kastam gagalkan cubaan seludup rokok, minuman keras RMRM2.67 juta

Rohaizad (tengah) bersama pegawai kanan JKDM Pulau Pinang menunjukkan rokok dan minuman keras yang dirampas.
Rohaizad (tengah) bersama pegawai kanan JKDM Pulau Pinang menunjukkan rokok dan minuman keras yang dirampas.
A
A
A

BUTTERWORTH – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang menumpaskan sindiket penyeludupan rokok dan minuman keras bernilai lebih RM2.67 juta termasuk cukai dalam dua serbuan berasingan di negeri ini pada Mei lalu.

Pengarah Kastam negeri, Rohaizad Ali berkata, dalam serbuan pertama yang dilakukan pada 6 Mei, dua lelaki tempatan masing-masing pemandu lori dan kelindan, berusia lingkungan 20-an dan 30-an ditahan di kawasan tempat letak kereta sebuah taman perumahan di Bukit Mertajam.

Menurutnya, Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JKDM negeri telah melakukan pemeriksaan terhadap sebuah lori yang diparkir di lokasi berkenaan dan menemui lebih 1.3 juta batang rokok putih dan rokok kretek yang dianggarkan bernilai lebih RM1.77 juta termasuk cukai.

“Kedua-dua lelaki tersebut ditahan berhampiran lori berkenaan.

“Mereka tidak mengaku terlibat dalam kegiatan penyeludupan dan mendakwa meninggalkan lori itu bersama kuncinya di kawasan awam bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya pada sidang akhbar di Stor Penguatkuasaan JKDM negeri di Bagan Jermal, di sini pada Rabu.

Rohaizad berkata, siasatan awal mendapati rokok tersebut dipercayai diseludup masuk dari negara jiran untuk dijual di pasaran tempatan.

Sementara itu, beliau berkata, serbuan kedua dilakukan pada 9 Mei membabitkan sebuah rumah di taman perumahan di sini dan hasil pemeriksaan menemui 15,288 tin bir serta 13,820 botol minuman keras yang dianggarkan bernilai hampir RM900,000 termasuk cukai.

Ketika serbuan dilakukan, tiada sesiapa berada di dalam rumah terbabit.

“Siasatan mendapati pemilik rumah menyewakannya kepada seorang individu dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan.

Artikel Berkaitan:

“Modus operandi sindiket adalah dengan menjadikan premis tertentu sebagai tempat penyimpanan sementara sebelum barang seludup diedarkan ke pasaran,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!