Biasiswa GrabScholar ubah kehidupan pelajar, lahirkan generasi baharu lebih berdaya

Enam penerima bantuan Biasiswa GrabScholar 2025
Enam penerima bantuan Biasiswa GrabScholar 2025
A
A
A

PETALING JAYA - Kisah mereka berbeza, namun berkongsi satu persamaan, iaitu semangat untuk meneruskan pengajian walau berdepan kesempitan hidup.

Itulah antara kisah inspirasi tiga penerima Biasiswa GrabScholar 2025, hasil kerjasama antara Grab Malaysia dan Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR) yang komited memperkasa pendidikan serta mobiliti sosial antara generasi.

Program biasiswa ini memberi tumpuan kepada pelajar dari pelbagai latar belakang, khususnya yang kurang bernasib baik.

Tahun ini, enam pelajar terpilih menerima bantuan kewangan meliputi yuran pengajian, elaun bulanan dan tahunan, serta bantuan sekali gus (one-off) bagi pembelian komputer riba, pakaian formal, kos tesis atau penerbangan.

Antara penerimanya, Lawinya Paramesivam, pelajar tahun kedua Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

“Ayah saya seorang pemandu Grab sejak 2018. Dialah yang meminta saya memohon biasiswa ini. Saya tak sangka berjaya sebab ramai yang mohon. Bila dapat tahu terpilih, saya sangat terharu dan bersyukur,” katanya.

Lawinya (dua kanan) bersama keluarga
Lawinya (dua kanan) bersama keluarga

Lawinya berkongsi bagaimana keluarganya pernah melalui tempoh sukar apabila hanya bergantung kepada pendapatan ayahnya sebelum ibunya mendapat kerja sebagai tukang masak di sebuah syarikat.

Artikel Berkaitan:

“Ketika itu hidup kami agak susah, tapi kerja Grab banyak membantu ayah menyara kami sekeluarga. Kini dengan bantuan biasiswa ini, saya boleh fokus pada pelajaran tanpa beban kewangan,” katanya yang melihat biasiswa ini bukan sekadar bantuan kewangan tetapi platform membina keyakinan dan kepimpinan diri.

Bagi Aruna Dhanapalan, 23, pelajar tahun ketiga Fakulti Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pula, biasiswa itu ibarat sinar baru selepas melalui pelbagai cabaran.

“Saya dibesarkan oleh ibu tunggal yang berdepan banyak kesukaran fizikal dan mental. Kami enam beradik, dan abang saya juga pemandu Grab. Sebelum ini, saya terpaksa bekerja sambilan untuk bayar yuran dan bantu keluarga,” katanya yang berasal dari Manjung, Perak.

Aruna Dhanapalan (kiri) menyifatkan bantuan biasiswa diterima sebagai satu peluang berharga
Aruna Dhanapalan (kiri) menyifatkan bantuan biasiswa diterima sebagai satu peluang berharga

Aruna mengakui pernah berputus asa apabila beberapa permohonan biasiswa lain ditolak. Namun, dorongan abangnya membuatkan dia mencuba permohonan GrabScholar-YTAR yang akhirnya mengubah kehidupannya.

“Saya sangat bersyukur kerana terpilih. Kini saya lebih tenang dan dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran tanpa perlu terlalu memikirkan beban kewangan,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi penerima, Johan Abd Wahab, 20, adalah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains dan Teknologi Alam Sekitar di Universiti Putra Malaysia (UPM) yang berasal dari Sungkai, Perak.

Anak bongsu daripada empat beradik itu mengakui peluang yang diterimanya amat berharga, terutama selepas melalui pelbagai dugaan termasuk kehilangan ibu tercinta akibat kanser payudara awal tahun ini.

Johan (kiri) merupakan pelajar cemerlang yang menerima Biasiswa GrabScholar - YTAR 2025
Johan (kiri) merupakan pelajar cemerlang yang menerima Biasiswa GrabScholar - YTAR 2025

“Saya rasa sangat bersyukur kepada Ilahi kerana terpilih sebagai salah seorang daripada enam penerima biasiswa ini.

"Saya tak sangka daripada lebih 3,000 permohonan, saya antara yang terpilih. Rasa semua usaha saya sebelum ini terbalas,” katanya ketika ditemui.

Johan yang merupakan anak kepada pesara polis berusia 63 tahun berkata, biasiswa tersebut bukan sekadar membantu meringankan beban kewangan keluarga, malah membuka ruang untuk beliau memperkukuh potensi diri.

“Biasiswa ini bukan sekadar bantuan perbelanjaan bulanan, tapi juga membolehkan saya mengikuti kursus pembangunan diri untuk persiapan kerjaya nanti,” ujarnya.

Enam penerima bantuan Biasiswa GrabScholar - YTAR 2025
Enam penerima bantuan Biasiswa GrabScholar - YTAR 2025

Menurut Johan, sebelum ini beliau tidak pernah menerima sebarang bantuan biasiswa meskipun memiliki keputusan akademik yang cemerlang.

Bagi Johan, kesusahan hidup juga mengajarnya berdikari sejak kecil apabila ketika berusia 15 tahun, ibunya diserang strok ringan, menyebabkan beliau menggalas tanggungjawab mengurus rumah dan belajar serentak.

“Saya sudah belajar berdikari sejak Tingkatan 3 lagi. Lepas mak disahkan mengidap kanser payudara semasa saya ambil SPM, kami berulang-alik dari Sungkai ke Ipoh untuk rawatan hampir 100 kilometer setiap kali. Kos perjalanan dan makan masa itu memang tinggi,” jelasnya.

Walaupun berdepan pelbagai cabaran, Johan bersyukur kerana bapanya sentiasa berusaha menampung perbelanjaan pendidikan mereka adik-beradik.

“Ayah saya memang berjimat untuk pastikan saya tak pernah ikat perut. Tapi saya tahu bukan mudah bagi dia tanggung semuanya seorang diri,” katanya.

Kisah Johan dan dua lagi rakannya mencerminkan matlamat utama biasiswa GrabScholar-YTAR iaitu membuka ruang kepada anak muda daripada pelbagai latar belakang untuk meneruskan pendidikan tinggi dan memperbaiki taraf hidup keluarga.

Program ini menjadi bukti komitmen Grab Malaysia dan YTAR dalam memupuk bakat serta menyemai harapan baharu kepada generasi muda Malaysia, tanpa mengira latar belakang atau cabaran hidup yang dihadapi.

Adelene Foo (tengah) bersama enam penerima GrabScholar 2025 dan wakil Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR) pada majlis meraikan penerima biasiswa dan bantuan kewangan tahun ini.
Adelene Foo (tengah) bersama enam penerima GrabScholar 2025 dan wakil Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR) pada majlis meraikan penerima biasiswa dan bantuan kewangan tahun ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Grab Malaysia, Adelene Foo, berkata, Grab menghargai ketabahan dan aspirasi para penerima biasiswa, sekali gus menegaskan komitmen syarikat untuk memberi sumbangan semula kepada masyarakat serta membuka peluang ke arah masa depan yang lebih cerah.

Selain biasiswa penuh, inisiatif ini turut menyaksikan 300 pelajar menerima bantuan kewangan melalui program GoBarakah.

“Rakan-rakan kami merupakan tulang belakang kepada ekosistem Grab, dan biasiswa ini adalah tanda penghargaan terhadap pengorbanan serta dedikasi mereka terhadap keluarga.Melalui GrabForGood Fund dan GrabScholar, kami ingin menghapuskan halangan kewangan supaya pelajar-pelajar ini dapat menumpukan perhatian kepada pembelajaran dan impian besar mereka.

“Kami melihat program GrabScholar bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi sebagai pelantar pelancaran masa depan dan kami berbangga dapat memainkan peranan dalam menyokong generasi penggerak masa depan negara,”katanya.

Disokong oleh GrabForGood Fund, program GrabScholar diwujudkan bagi meningkatkan mobiliti sosioekonomi dengan menyediakan peluang pendidikan kepada rakan pemandu dan peniaga Grab, ahli keluarga terdekat mereka serta masyarakat umum.

Pelajar universiti menerima biasiswa penuh yang merangkumi yuran pengajian, elaun sara hidup dan akses kepada program pembangunan diri, manakala pelajar sekolah rendah dan menengah yang layak menerima bantuan kewangan sekali beri (one-off) berasaskan keperluan.

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!