'Biar miskin harta, jangan miskin ilmu' - Kisah Sharvin jadi inspirasi sempena Deepavali


SHAH ALAM – “Biar miskin harta, jangan miskin ilmu.”
Itu pesanan seorang ibu kepada anaknya yang menjadi pegangan sehingga berjaya memperoleh biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ke universiti.
Kisah anak muda bernama Sharvin itu dikongsikan oleh Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar menerusi Facebook.
Ia berkisar tentang kecekalan hidupnya yang dibesarkan oleh seorang ibu tanpa kehadiran ayah.
Katanya, Sharvin adalah anak tunggal dan hidup mereka berdua penuh cabaran, tetapi kasih sayang ibu menjadi pendorong utama dalam kehidupannya.
"Setiap pagi ibunya menaiki motosikal dari Dengkil ke Shah Alam untuk bekerja dari 8 pagi hingga 5 petang. Pernah juga ibunya tiada wang, lalu terpaksa mengambil kerja kedua sebagai penyambut tetamu di sebuah hotel dari 6 petang hingga 1 pagi.
"Ibunya berkorban tenaga dan masa, menghabiskan 15 jam sehari semata-mata untuk memastikan ada makanan di atas meja. Walaupun jatuh sakit, dia tidak pernah sekalipun mengeluh mahu pun bertemu doktor demi menyimpan wang untuk anak kesayangan," katanya.
Menurut Nurul Izzah, selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sharvin bekerja sambilan di sebuah pasar raya dengan bayaran RM7 satu jam dan Setiap sen gaji disimpan untuk membeli keperluan asas serta membantu perbelanjaan rumah.
"Pesanan ibunya tetap menjadi pegangan 'Biar miskin harta, jangan miskin ilmu' dan semangat itu mendorong Sharvin untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya mendapat biasiswa JPA.
"Namun, segulung ijazah sahaja belum tentu menjamin masa depan yang baik, atas dasar minat terhadap semikonduktor, Sharvin mengambil keputusan menyertai program upskilling selama empat bulan di Selangor Information Technology and Digital Economy Corporation (Sidec) di bawah program Advanced Semiconductor Academy of Malaysia (ASEM).
"Di sini para graduan didedahkan dengan kemahiran praktikal dan kepimpinan dari syarikat antarabangsa, faktor yang amat diperlukan oleh majikan masa kini," katanya.
Nurul Izzah yang juga penasihat Sidec, bertindak sebagai mentor untuk membimbing graduan seperti Sharvin dan memastikan mereka mendapat peluang pekerjaan dengan gaji permulaan antara RM5,000 hingga RM6,000 sebulan.
"Sempena Deepavali, Sharvin akhirnya dapat menunaikan janji kepada ibunya: 'Amma, I made it. Sekarang giliran saya pula untuk jaga Amma. Maaf sebab banyak menyusahkan Amma dulu. Thank you and I love you'.
"Bagi ibunya, melihat anak berjaya dan bahagia sudah cukup menjadi hadiah terbesar. Semoga sambutan Deepavali tahun ini membawa kegembiraan kepada semua keluarga dan insan tersayang," katanya.
Ringkasan AI
- Sharvin berjaya memperoleh biasiswa JPA ke universiti atas nasihat ibunya "Biar miskin harta, jangan miskin ilmu"
- Dibesarkan oleh seorang ibu tanpa kehadiran ayah, Sharvin dan ibunya hidup dalam cabaran tetapi penuh dengan kasih sayang
- Ibunya bekerja keras, menaiki motosikal dari Dengkil ke Shah Alam dan mengambil kerja kedua sebagai penyambut tetamu demi memastikan ada makanan di atas meja
- Selepas SPM, Sharvin bekerja sambilan di pasar raya dan menyimpan setiap sen gaji untuk membantu perbelanjaan rumah
- Sharvin menyertai program upskilling di Selangor Information Technology and Digital Economy Corporation (Sidec) dan mendapat peluang pekerjaan dengan gaji permulaan RM5,000 hingga RM6,000 sebulan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
