Pertunjukan bunga api bertukar tragedi, 22 cedera kena serpihan mercun

KULIM - Seramai 22 orang awam cedera termasuk seorang daripadanya mengalami kecederaan serius di dahi akibat terkena letupan mercun di Paya Besar di sini kira-kira jam 12.45 tengah malam.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Zulkifli Azizan berkata, kejadian berlaku ketika orang ramai berkumpul di kawasan berkenaan bagi menyaksikan bunga api.
Menurutnya, kesemua mangsa mengalami luka-luka namun hanya seorang mangsa mengalami kecederaan serius di dahi iaitu luka sepanjang 5 sentimeter.
"Mangsa yang lain dikesan hanya mengalami luka kecil akibat terkena belerang di bahagian badan dan tangan," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, maklumat awal diterima semasa anggota bertugas sedang membuat rondaan operasi pencegahan jenayah dari jam 9 malam hingga 2 pagi Isnin.

"Maklumat diterima mengenai kesesakan lalu lintas akibat kehadiran orang ramai di kawasan tersebut, disebabkan itu, anggota bertugas telah memohon bantuan MPV dan URB untuk mengawal lalu lintas.
"Apabila pasukan bantuan sampai ditempat kejadian mendapati terdapat mangsa cedera akibat terkena mercun," katanya.
Beliau berkata, dua buah ambulan telah sampai ke tempat kejadian bagi memberi bantuan awal kepada mangsa.
Jelasnya, kesesakan lalu lintas berjaya dikawal setelah orang ramai beredar sebaik sahaja ambulan membawa mangsa cedera ke Hospital Kulim.
Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1958.
Ringkasan AI
- Seramai 22 orang awam cedera termasuk seorang dengan kecederaan serius di dahi kerana terkena letupan mercun
- Kejadian berlaku ketika orang ramai berkumpul untuk menyaksikan bunga api di Paya Besar
- Hanya seorang mangsa mengalami kecederaan serius di dahi dengan luka sepanjang 5 sentimeter
- Mangsa lain dikesan mengalami luka kecil akibat terkena belerang di bahagian badan dan tangan
- Kesesakan lalu lintas berjaya dikawal dan mangsa cedera dibawa ke Hospital Kulim
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

