'3 hari pujuk anak buah nak pinjam MyKad'

SHAH ALAM - [KEMAS KINI] Biar pun ketahui kesalahan dilakukan, warga asing dikesan sanggup menggunakan kad pengenalan orang lain semata mahu dapatkan kerja.
Itu kes penyalahgunaan MyKad oleh warga asing yang dibongkar Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi Op Metal di sebuah kilang besi di Bukit Kemuning di sini pada Selasa.
Menurut lelaki warga Filipina dikenali sebagai Fahad itu, dia menggunakan MyKad anak buahnya yang juga warga tempatan berasal dari Sabah.
"Tiga hari saya pujuk dia untuk pinjam IC (MyKad). Saya cuma beritahu nak pinjam untuk dapatkan kerja, saya pun tak bayar apa-apa pada dia.

"Saya gunakan IC ini untuk kerja di sini (kilang). Saya tahu saya salah.
"Baru kerja seminggu lebih sahaja di sini cik," katanya pemuda berusia 26 tahun yang mendakwa anak buahnya kini menetap di Perak.
Seorang lelaki warga Filipina dikenali Sakib juga ditahan atas kesalahan menggunakan MyKad orang lain.
Kata Sakib, dia mendapatkan MyKad seorang lelaki tempatan daripada ejen.
"Kawan beritahu suruh hubungi nombor telefon ejen ini. Selepas 'call', MyKad itu dipos kepada saya untuk guna bagi dapatkan kerja.
"Ini pertama kali saya guna (MyKad)...tahu salah. Sebab nak kerja di sini," katanya yang juga mendakwa datang ke Semenanjung selepas membayar kira-kira RM1,000 kepada ejen.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara (Operasi), Sarinah Apisah berkata, operasi bermula jam 2.30 petang bertindak menahan 52 warga asing berusia lingkungan 25 hingga 60-an membabitkan warga Filipina dan Indonesia.
Menurutnya, pasukan operasi juga mendapat kerjasama daripada pihak pengurusan kilang bagi membuat semakan nombor kad pengenalan.
"Berdasarkan tangkapan ini, kebanyakan alasan guna MyKad orang lain kerana ejen yang bawa. Ada yang tak pegang MyKad dan ejen uruskan.
"JPN akan siasat sama ada terdapat elemen sindiket atau kerelaan oleh warga tempatan yang menyerahkan MyKad. Kita akan kesan pemilik IC itu," katanya kepada pemberita di sini.
Tegasnya, kesemua tangkapan dibawa ke JPN Putrajaya untuk siasatan lanjut dan kes diklasifikasi mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.
Ringkasan AI
- Warga asing guna MyKad orang lain untuk dapatkan kerja
- Kes penyalahgunaan MyKad dibongkar JPN dan JIM melalui Operasi Metal
- Lelaki warga Filipina menggunakan MyKad anak buahnya, yang lain dari ejen
- Operasi tangkap 52 warga asing di kilang besi, Bukit Kemuning
- JPN siasat kemungkinan sindiket atau kerelaan warga tempatan menyerahkan MyKad
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
