MATTA-MFTF promosi destinasi pelancongan mesra Muslim

KUALA LUMPUR - Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) merasmikan acara sulungnya yang memfokuskan destinasi pelancongan mesra Muslim iaitu Muslim Friendly Travel Fair (MFTF).
Presiden MATTA, Nigel Wong berkata, acara yang bermula pada 18 dan 19 Oktober dari jam 10 pagi hingga 9 malam itu bertujuan mempromosikan lokasi pelancongan mesra Muslim menerusi pameran dan reruai kepada masyarakat tempatan serta antarabangsa.
Menurut beliau, tema Muslim dipilih berikutan majoriti rakyat di negara ini beragama Islam, selain menyifatkan ia pendekatan strategik dalam menyantuni golongan sasar.
“Ini langkah strategik yang diambil kerana kami bukan sahaja menjalinkan hubungan mesra, tetapi merealisasikan permintaan mereka yang mahukan percutian mesra Muslim.
“Kami sudah mengembara banyak negara dan menasihati pemain industri tentang bagaimana cara memenuhi kehendak pelanggan di pasaran.
“Kalau boleh lihat di sini banyak pakej umrah, haji dan pelancongan dalam serta luar negara. Walaupun namanya ke arah Islamik, pengunjung bukan Muslim juga masih boleh menikmati percutian bersama keluarga di lokasi lain,” katanya ketika majlis perasmian MATTA-MTMF di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Pengerusi Penganjur MATTA-MFTF, Dr Fazil Khan; Menteri Kaunselor Kedutaan Republik Indonesia ke Malaysia, Hendra P Iskandar; Ketua Bahagian Kewangan Pengguna RHB Bank, Sien Vee Loc serta presiden dan wakil persatuan pelancongan.
MATTA-MFTF yang berlangsung di Dewan Tun Razak 4, WTC itu melibatkan keluasan 2,700 meter persegi dengan penyertaan 115 reruai, dikendalikan ejen pelancongan berlesen dan pemain industri.
Program itu turut menerima sokongan daripada rakan rasmi iaitu RHB Bank Berhad, Pusat Pelancongan Islamik (ITC), Tourism Malaysia, Astro Ocean Cruise, Mayoly dan Visit Malaysia 2026 termasuk Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac).
Nigel memberitahu, acara berkenaan menawarkan pengalaman menarik dan harga pakej berbaloi kepada pengunjung yang berminat dengan destinasi, produk serta perkhidmatan berpaksikan nilai mesra Muslim.
Sementara itu, Pemangku Ketua Pengarah ITC, Nur Alyssa Coraline Yussin berpandangan, penganjuran MFTF oleh MATTA dilihat penanda aras baharu dalam usaha meletakkan nama Malaysia sebagai pemacu sektor pelancongan berteraskan Islamik di mata dunia.
Beliau selaku perasmi majlis berkata, penganjuran MATTA-MFTF tepat pada masanya malah bersifat terkehadapan dalam menetapkan hala tuju untuk Tahun Melawat Malaysia 2026.
Jelasnya lagi, pada 2024, Malaysia menerima kehadiran 5.4 juta pelancong Muslim dengan jumlah perbelanjaan lebih RM19.5 bilion.
“Dari Januari hingga Jun tahun ini pula, kita berjaya merekodkan kemasukan 3.4 juta pelancong Muslim. Satu angka yang amat memberangsangkan dan dijangka mampu mengatasi pencapaian tahun lalu.
“Secara keseluruhannya, potensi sangat positif. Jadi, saya yakin menjelang 2030, dijangka 245 juta pelancong Muslim akan bercuti ke seluruh dunia dengan jumlah perbelanjaan sekitar AS$235 bilion (RM993.4 bilion).
“Ini usaha yang menyentuh jiwa, budaya dan aspirasi orang ramai. Tahniah dan terima kasih kepada MATTA selaku teraju utama acara gilang-gemilang ini,” katanya.
Ringkasan AI
- MATTA melancarkan Muslim Friendly Travel Fair pertama yang fokus kepada destinasi pelancongan mesra Muslim
- Acara tersebut bertujuan untuk mempromosikan lokasi pelancongan mesra Muslim kepada masyarakat tempatan dan antarabangsa
- Pemilihan tema Muslim didasari oleh mayoritas penduduk Malaysia yang beragama Islam dan sebagai pendekatan strategik
- MATTA-MFTF diadakan di Dewan Tun Razak 4, WTC dengan keluasan 2,700 meter persegi dan melibatkan 115 reruai
- Menjelang 2030, dijangkakan 245 juta pelancong Muslim akan bercuti ke seluruh dunia dengan perbelanjaan sekitar AS$235 bilion
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

