MATTA Fair Ke-57 sasar jualan melebihi RM250 juta

Presiden MATTA, Nigel Wong (empat dari kiri) dan Ketua Pegawai Komersial MAG, Dersenish Aresandiran (lima dari kiri) bergambar bersama selepas sidang akbar pengumuman MAG Sebagai Rakan Penerbangan Rasmi dan Penaja Utama MATTA Fair September 2025 di Hotel Sama-Sama KLIA pada Isnin. Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID
Presiden MATTA, Nigel Wong (empat dari kiri) dan Ketua Pegawai Komersial MAG, Dersenish Aresandiran (lima dari kiri) bergambar bersama selepas sidang akbar pengumuman MAG Sebagai Rakan Penerbangan Rasmi dan Penaja Utama MATTA Fair September 2025 di Hotel Sama-Sama KLIA pada Isnin. Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

SEPANG – Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menyasarkan jualan melebihi RM250 juta sempena Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) ke-57 yang akan berlangsung pada September ini.

Presidennya, Nigel Wong berkata, secara tradisinya pameran itu merekodkan sekitar RM250 juta jualan pada setiap edisi dan sasaran tersebut kekal pada tahun ini.

Nigel Wong
Nigel Wong

Bagaimanapun, beliau menjelaskan pihaknya lebih optimistik kali ini berikutan sokongan kerajaan melalui kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) serta minat baharu yang semakin meningkat terhadap pelancongan ASEAN.

“Dengan dorongan kerajaan dan permintaan kukuh dalam kalangan negara serantau, kami menjangkakan jualan akan lebih cenderung ke arah itu termasuk peningkatan perbelanjaan dalam pelancongan domestik,” katanya pada sidang akhbar sempena pengumuman Malaysia Aviation Group (MAG) sebagai penaja utama MATTA Fair, di sini, pada Isnin.

Menurutnya, pameran kali ini turut menampilkan banyak produk serta tarikan baharu yang diperkenalkan oleh pempamer.

“Ramai pempamer hadir dengan pakej dan tarikan kreatif yang segar. Justeru, kami yakin ia akan mendorong lebih banyak perbelanjaan khususnya dalam pasaran domestik,” ujarnya.

Beliau berkata, penganjuran kali ini turut mendapat suntikan istimewa apabila MAG kembali sebagai Rakan Kongsi Penerbangan Rasmi dan Penaja Utama MATTA Fair ke-57.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, kerjasama itu bukan sahaja menambah nilai kepada pameran, malah memperkukuh usaha memperkenalkan inovasi baharu dalam industri penerbangan serta pelancongan negara.

“Dengan sokongan MAG, kita mempunyai rakan kongsi yang memahami kepentingan memelihara hubungan antara destinasi dan manusia. Ia seiring dengan matlamat kami untuk memberi pengalaman perjalanan lebih bermakna kepada pengunjung,” katanya.

MAG bakal menampilkan MAG Arena dengan konsep futuristik merangkumi pameran interaktif, hadiah eksklusif serta kehadiran legenda Manchester United dan personaliti sukan terkenal.

Pada masa sama, semua tempahan sepanjang pameran layak menerima hadiah segera, manakala peraduan pembeli MATTA Fair menawarkan hadiah utama berupa tiket pergi balik Kelas Perniagaan dari Kuala Lumpur ke Paris.

Dalam memastikan kelancaran pengunjung, MATTA Fair ke-57 menawarkan kemasukan percuma bermula jam 10 pagi hingga 9 malam sepanjang tiga hari berlangsung.

Selain itu, perkhidmatan bas ulang-alik percuma turut disediakan dari KL Sentral dan pusat beli-belah Sunway Putra ke Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) sebagai usaha mengurangkan kesesakan serta memberi kemudahan kepada orang ramai.

Bagi pengunjung yang memilih untuk memandu, kemudahan parkir disediakan di pintu masuk Selatan aras bawah MITEC, aras bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), kawasan parkir terbuka Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) serta aras bawah The MET.

Nigel berkata, semua langkah itu dilakukan bagi memastikan pengunjung dapat menikmati pengalaman membeli pakej pelancongan dan berhibur dengan lebih selesa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!