MATTA Fair ke-57 tawar hadiah hampir RM200,000 kepada pengunjung bertuah

Antara pemenang cabutan bertuah MATTA Fair edisi ke-57.
Antara pemenang cabutan bertuah MATTA Fair edisi ke-57.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) edisi ke-57 mencipta kejayaan berganda apabila tersenarai dalam Malaysia Book of Records (MBOR) kerana menyediakan 2,049 reruai selain menawarkan hadiah hampir RM200,000 kepada pengunjung bertuah.

Timbalan Presidennya, Sheikh Awadh Sheikh Abdullah berkata, hadiah tahun ini merupakan antara yang terbesar pernah ditawarkan sepanjang penganjuran MATTA Fair.

Sheikh Awadh
Sheikh Awadh

“Buat pertama kali, hadiah utama berupa motosikal elektrik sebagai simbolik fokus MATTA terhadap inisiatif hijau. Ini membuktikan MATTA amat prihatin dan mementingkan aspek kelestarian serta tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Acara penyampaian hadiah bukan sahaja meraikan pemenang malah menjadi daya tarikan tambahan kepada pengunjung,” katanya pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan MATTA Fair edisi ke-57 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.

Penganjuran kali ini menyaksikan 29 hadiah utama dan 92 hadiah sagu hati disediakan kepada pemenang bertuah.

Antara tarikan utama ialah ‘Buyer’s Contest’ yang mencatat penyertaan seramai 6,852 orang dengan syarat perbelanjaan minimum RM100 sekali gus melayakkan peserta memenangi hadiah termasuk tiket penerbangan, pas taman tema dan penginapan hotel.

Selain itu, pertandingan ‘Ride & Reels: Vlog Your Journey’ turut menarik 1,418 penyertaan apabila pengunjung merakam pengalaman mereka menaiki bas ulang-alik percuma ke MATTA Fair dengan memuat naik di media sosial.

Sheikh Awadh berkata, sambutan pengunjung pada edisi kali ini amat menggalakkan sepanjang tiga hari penganjurannya susulan cuti umum.

Artikel Berkaitan:

“Cuti Maulidur Rasul juga membantu meningkatkan jumlah kehadiran selain tawaran harga pakej lebih berbaloi di bawah harga pasaran.

“Pelancongan domestik memainkan peranan penting dengan Sabah menjadi destinasi paling mendapat sambutan sehingga hampir 100 reruai menjual pakej ke negeri itu,” katanya.

Sheikh Awadh berkata, pihaknya yakin edisi seterusnya akan menampilkan tarikan baharu termasuk penggunaan teknologi realiti maya (VR) dan kecerdasan buatan (AI).

“Banyak perancangan sedang dirangka bagi memastikan pengunjung menikmati promosi lebih hebat. MATTA Fair seterusnya dijadual berlangsung pada 3 hingga 5 April 2026 dengan pelbagai pakej lebih menarik.

“Saya menggalakkan pengunjung menggunakan bas shuttle percuma dari KL Sentral dan Sunway Putra Mall yang beroperasi setiap lima hingga 10 minit,” katanya.

Sementara itu, wakil pemenang utama, Marsura Harun, 59, menyifatkan tiket pergi balik kelas perniagaan dari Kuala Lumpur ke Paris tajaan Malaysian Aviation Group (MAG) adalah rezeki buat anaknya yang menyertai cabutan bertuah.

Marsura Harun (tengah) yang mewakili anaknya, Nur Zafirah Abdul Aziz menerima tiket pergi balik kelas perniagaan dari Kuala Lumpur ke Paris yang disampaikan oleh Sheikh Awadh Abdullah (kanan) dan Ketua Jualan Strategik Global & Pemangku Ketua Wilayah Tengah Kumpulan Penerbangan Malaysia (MAG), Nik Nazlene.
Marsura Harun (tengah) yang mewakili anaknya, Nur Zafirah Abdul Aziz menerima tiket pergi balik kelas perniagaan dari Kuala Lumpur ke Paris yang disampaikan oleh Sheikh Awadh Abdullah (kanan) dan Ketua Jualan Strategik Global & Pemangku Ketua Wilayah Tengah Kumpulan Penerbangan Malaysia (MAG), Nik Nazlene.

“Sebenarnya anak saya yang masukkan nama untuk cabutan bertuah ini dan dia memang teringin ke Paris. Saya berasa amat gembira kerana impiannya tercapai memandangkan dia belum pernah ke sana.

“Saya rasa sangat berbaloi membeli di MATTA Fair terutama untuk keluarga besar seperti kami seramai tujuh orang. Harga pakej lebih berpatutan dan sangat jimat berbanding tempat lain,” ujar beliau.

Tambahnya, selain cabutan bertuah, Marsura turut membeli pakej pelancongan Kuala Lumpur ke Osaka, Jepun pada hari pertama penganjurannya.

“Setiap tahun kami akan mengatur percutian keluarga. Siapa sangka, selain membeli pakej pelancongan, saya turut memenangi hadiah cabutan bertuah.

“Disebabkan itu, kami pasti akan datang lagi tahun hadapan untuk mendapatkan harga pakej terbaik,” katanya.

Ringkasan AI

  • MATTA Fair edisi ke-57 mencatatkan kejayaan dengan menawarkan 2,049 reruai dan hadiah bernilai hampir RM200,000
  • Hadiah utama tahun ini adalah motosikal elektrik simbolik inisiatif hijau MATTA
  • Sebanyak 29 hadiah utama dan 92 hadiah sagu hati disediakan untuk pengunjung
  • Sabah menjadi destinasi paling popular dengan hampir 100 reruai menawarkan pakej ke negeri itu
  • MATTA Fair seterusnya dijadual berlangsung pada 3 hingga 5 April 2026 dengan inovasi teknologi VR dan AI

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!