MATTA lancar MFTF, pameran destinasi pelancongan mesra Muslim pertama di Malaysia

Penganjuran MFTF mengukuhkan lagi kedudukan MATTA sebagai peneraju industri pelancongan dan menyumbang kepada usaha Malaysia membina reputasi sebagai hab global pelancongan mesra Muslim.
Penganjuran MFTF mengukuhkan lagi kedudukan MATTA sebagai peneraju industri pelancongan dan menyumbang kepada usaha Malaysia membina reputasi sebagai hab global pelancongan mesra Muslim.
A
A
A

SHAH ALAM – Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) buat julung kalinya menganjurkan MATTA Muslim Friendly Travel Fair (MFTF) yang akan berlangsung pada 18 hingga 19 Oktober ini di World Trade Centre (WTC), Kuala Lumpur.

Inisiatif terbaharu itu menandakan komitmen MATTA terhadap keterangkuman dan inovasi dalam industri pelancongan sekali gus memberi tumpuan kepada segmen pelancongan mesra Muslim yang sedang pesat berkembang.

Pengerusi Penganjur MATTA Muslim Friendly Travel Fair, Dr Fazil Khan berkata, MATTA menyedari cabaran yang sering dihadapi pelancong Muslim dalam mencari destinasi yang menyediakan makanan halal, kemudahan solat dan tarikan mesra keluarga.

“MFTF diwujudkan bagi menjembatani jurang tersebut. Kami juga berbangga dapat menampilkan agensi pelancongan bertauliah yang menawarkan pakej umrah dan haji bagi membolehkan pengunjung menunaikan kewajipan agama dengan penuh yakin serta tenang,” katanya.

MFTF yang berlangsung di Dewan Tun Razak 4, WTC Kuala Lumpur itu melibatkan keluasan 2,700 meter persegi dengan penyertaan 115 reruai yang dikendalikan ejen pelancongan berlesen dan pemain industri pelancongan lain.

Walaupun berskala lebih kecil berbanding Pameran MATTA di MITEC, acara berkenaan menawarkan pengalaman yang lebih terfokus dan tersusun kepada pengunjung yang berminat dengan destinasi, produk serta perkhidmatan berpaksikan nilai mesra Muslim.

Lebih penting, MFTF bukan hanya untuk pelancong Muslim. Ia terbuka kepada semua pengunjung yang mencari pilihan perjalanan berorientasikan kekeluargaan, mudah diakses dan menghormati nilai budaya.

Pemilihan WTC Kuala Lumpur sebagai lokasi utama juga dibuat berdasarkan permintaan orang ramai terhadap lokasi yang lebih strategik dan mudah diakses.

MATTA turut menerima sokongan daripada rakan rasmi acara iaitu RHB Bank Berhad sebagai penaja platinum eksklusif, Pusat Pelancongan Islam (Islamic Tourism Centre) sebagai rakan strategik dan Hwajing Travel & Tours sebagai pengendali rasmi pelayaran.

Artikel Berkaitan:

Kerjasama tersebut membuktikan komitmen bersama dalam memperkasakan pelancongan mesra Muslim dan menjadikan MFTF sebagai pusat sehenti perancangan perjalanan.

Pameran berkenaan turut mencerminkan misi lebih luas MATTA untuk mempromosikan pengalaman melancong yang selamat, mudah dan menghormati budaya.

Penganjuran MFTF sekali lagi mengukuhkan kedudukan MATTA sebagai peneraju industri pelancongan dan menyumbang kepada usaha Malaysia membina reputasi sebagai hab global pelancongan mesra Muslim.

MFTF dibuka kepada orang ramai dari jam 10 pagi hingga 9 malam pada 18 dan 19 Oktober nanti. Orang ramai digalakkan menggunakan pengangkutan awam bagi mengurangkan pelepasan karbon. Kemudahan parkir turut disediakan di lokasi acara.

Ringkasan AI

  • MATTA menganjurkan MATTA Muslim Friendly Travel Fair (MFTF) untuk kali pertama di WTC Kuala Lumpur pada 18 hingga 19 Oktober
  • Inisiatif ini menunjukkan komitmen MATTA terhadap keterangkuman dan memfokus pada pelancongan mesra Muslim
  • MFTF menyediakan platform untuk pelancong Muslim mencari destinasi yang menyediakan makanan halal dan kemudahan solat
  • Acara ini melibatkan 115 reruai yang dikendalikan ejen pelancongan berlesen dengan fokus pada nilai mesra Muslim
  • MFTF terbuka kepada semua, menawarkan pengalaman pelancongan yang menghormati nilai budaya dan berorientasikan kekeluargaan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!