MATTA Fair ke-57 perkenal inisiatif pengukuran jejak karbon

Dari kiri: Bobby, Chok Yan, Nigel, Roshan dan Tien Yue selepas sidang media MATTA Fair di MITEC, Kuala Lumpur pada Khamis.
Dari kiri: Bobby, Chok Yan, Nigel, Roshan dan Tien Yue selepas sidang media MATTA Fair di MITEC, Kuala Lumpur pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) edisi ke-57 bakal melakar sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya memperkenalkan inisiatif pengukuran jejak karbon sepanjang acara itu berlangsung.

Presidennya, Nigel Wong berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada usaha menjadikan Pameran MATTA yang berlangsung dari Jumaat hingga Ahad ini lebih mesra alam menerusi Inisiatif Ekopelancongan dan Pelancongan Lestari MATTA (MESTI).

“Ini adalah langkah awal MATTA dalam memastikan pameran terbesar industri pelancongan negara ini selari dengan agenda kelestarian global.

"Data pengiraan karbon membantu kami menilai pelepasan yang terhasil daripada penggunaan tenaga, perjalanan pengunjung, logistik dan operasi sepanjang acara ini berlangsung," katanya ketika sidang akhbar di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini pada Khamis.

Hadir sama, Pengarah Program RHB Ocean Harmoni, Roshan Jaffar; Pengarah Eksekutif Royal Selangor, Chen Tien Yue; Pengurus Pemasaran Lembaga Pelancongan Sabah, Bobby Alex dan Ketua Pegawai Eksekutif Penang Global Tourism, Ooi Chok Yan.

Nigel menjelaskan, Pavilion MESTI bakal menjadi tarikan utama dengan lebih 40 reruai yang mengetengahkan elemen pelancongan lestari, warisan budaya dan pemuliharaan alam sekitar.

"Sabah terkenal dengan khazanah alam semula jadi yang unik, manakala Pulau Pinang pula kaya dengan warisan budaya serta seni bina yang masih terpelihara selain Royal Selangor juga akan menampilkan persembahan menarik sepanjang pameran ini berlangsung," tambah beliau.

Beliau berkata, pameran itu turut memberi tumpuan kepada aspek kesihatan dan kesejahteraan dengan penyertaan Persatuan Spa Malaysia yang menawarkan pengalaman urutan tradisional kepada pengunjung.

Selain itu, MATTA Fair juga menampilkan teknologi hijau termasuk kenderaan elektrik serta hadiah cabutan bertuah berupa motosikal elektrik.

Artikel Berkaitan:

"Kami mahu pelancongan bukan sahaja dilihat dari sudut perjalanan dan hiburan, tetapi juga sebagai platform untuk mendidik masyarakat mengenai tanggungjawab terhadap alam sekitar. 

"MATTA Fair kali ini bukan sekadar medan promosi pakej pelancongan, sebaliknya sebuah acara yang memberi kesedaran tentang kelestarian dan budaya tempatan,” katanya.

Nigel menegaskan, kerjasama erat antara MATTA dengan pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri, agensi pelancongan dan sektor swasta adalah kunci menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan hijau bertaraf dunia.

"Inilah kelebihan yang perlu diketengahkan kepada dunia dan saya yakin dengan kerjasama padu, kita mampu menjadikan MATTA Fair sebagai platform utama mempromosi pelancongan lestari," tambah beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!