MATTA Fair ke-57 catat Malaysia Book of Record pameran pelancongan antarabangsa terbesar

KUALA LUMPUR – Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) ke-57 mencatat sejarah tersendiri apabila mencatat rekod penyertaan tertinggi, sekali gus diiktiraf Malaysia Book of Records sebagai pameran pelancongan antarabangsa terbesar di negara ini.
Presiden MATTA, Nigel Wong berkata, pameran yang berlangsung di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur itu mencatat keluasan pameran mencecah 40,820 kaki persegi dengan penyertaan 334 syarikat dan lebih 2,049 pempamer.
Menurut beliau, pameran kali ini menampilkan pelbagai pakej perjalanan domestik dan antarabangsa yang ditawarkan oleh agensi pelancongan berlesen, syarikat penerbangan dan hotel bagi memenuhi permintaan pengguna.
“Pencapaian ini tidak mungkin direalisasikan tanpa dedikasi seluruh pasukan dan sokongan kerajaan. MATTA Fair 2025 sekali lagi membuktikan peranannya sebagai platform pelancongan terbesar negara, memacu industri pelancongan tempatan dan antarabangsa ke tahap lebih tinggi.
“Pameran ini dianjurkan dengan kerjasama rapat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta pemain industri hospitaliti tempatan, bagi memastikan Malaysia terus bersedia menyambut pelancong dari seluruh dunia,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian pameran berkenaan, pada Sabtu.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) MOTAC, Surrendren Sathasivam.
Tambah Nigel, sejajar usaha kerajaan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama menjelang 2026 dan seterusnya, MATTA Fair telah menjalankan pelbagai misi jualan bersama rakan industri dan MOTAC.

Ujarnya, langkah tersebut bertujuan menarik lebih ramai pelancong asing serta menggalakkan rakyat Malaysia sendiri menjadi duta pelancongan negara.
“Pembantu terbaik untuk negara kita adalah rakyat Malaysia sendiri. Kita semua adalah pelancong berpotensi dan dengan mempromosikan destinasi dalam negara, kita dapat menunjukkan kepada dunia mengapa Malaysia wajar menjadi pilihan.
“Selain memikat pelancong luar, MATTA Fair turut menggalakkan rakyat Malaysia meneroka ‘halaman belakang’ mereka sendiri dengan menikmati keindahan alam, warisan budaya dan sejarah negara.
“Pada masa yang sama, elemen kesejahteraan kekal menjadi keutamaan melalui pelbagai inisiatif seperti Ocean Harmony yang disokong oleh Tourism Sabah, serta kerjasama strategik bersama pelbagai pemain industri,” katanya.
Antara jenama yang mengambil bahagian termasuk Penang Global Tourism, Resorts World Genting, Royal Selangor serta M-SPA yang memperkenalkan urutan tradisional Melayu.
Tidak ketinggalan, Easy Motorbike yang mempromosikan lawatan bandar menggunakan motosikal elektrik sebagai alternatif mesra alam, serta Pos Malaysia yang mempersembahkan penerbitan khas edisi 2026, manakala artis Rachel Grey turut mempamerkan koleksi seni buah-buahan eksklusifnya.
“MATTA mengajak semua rakyat Malaysia untuk terus menjelajah destinasi tempatan, menyelami khazanah warisan negara dan menjadi pencerita kisah keindahan Malaysia kepada dunia,” ujarnya.
Sementara itu, Surrendren berkata, MATTA Fair bukan sekadar acara pemasaran pelancongan, malah telah berkembang menjadi sebuah platform utama yang menghubungkan ribuan pelawat dan pemain industri, menjadikan Malaysia sebagai pintu gerbang ke dunia.
Beliau berkata, sebagai sebahagian penting daripada strategi MOTAC, MATTA Fair memainkan peranan besar dalam memperkukuh jenama Malaysia, mengembangkan pelancongan antarabangsa serta membina momentum untuk kempen promosi negara.
“Platform ini membuka ruang kepada agensi pelancongan dan penggiat industri untuk mempamerkan produk pelancongan unik Malaysia serta menjalin kerjasama dengan destinasi luar negara.
“Tahun ini, MATTA Fair turut menekankan kepentingan pelancongan domestik. Usaha ini bukan sahaja merangsang pertumbuhan ekonomi, malah memperkukuh pembangunan komuniti dan kesejahteraan destinasi.
“Pendekatan ini berpaksikan nilai-nilai teras Malaysia iaitu kesejahteraan bersama, sikap prihatin, hormat-menghormati, inovasi dan keterangkuman,” jelasnya.
Tambah beliau, pelancongan domestik terus menunjukkan perkembangan positif apabila suku pertama tahun 2025 sahaja mencatat 69.7 juta perjalanan, meningkat 18.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Jelas bahawa aktiviti melancong kini menjadi sebahagian penting dalam gaya hidup kita, sama ada dengan mengunjungi semula destinasi yang sudah dikenali atau menerokai permata tersembunyi di Malaysia.
“Prinsip ini menjadi asas kepada industri pelancongan yang menghormati kelestarian alam, memelihara kepelbagaian budaya dan mengutamakan kesejahteraan rakyat.
“Kini adalah masa terbaik untuk bersatu dan menunjukkan keindahan Malaysia kepada dunia. Dengan sokongan berterusan daripada semua pihak, Malaysia bukan sahaja bersedia menerima lebih ramai pelancong antarabangsa menjelang 2026 tetapi juga mampu menjadi destinasi yang berpengaruh dan berdaya saing di persada global,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

