Gen Z semakin prihatin isu Gaza

KUALA KANGSAR – Perjuangan membela nasib rakyat Palestin kini tidak lagi dibatasi usia apabila generasi muda termasuk Gen Z semakin lantang menyuarakan solidariti kemanusiaan terhadap Gaza.
Wakil Malaysia ke misi Global Sumud Flotilla (GSF), Norazman Ishak berkata, fenomena itu disifatkan sebagai gelombang baharu kebangkitan rakyat yang bukan sekadar menjadi pemerhati di media sosial tetapi memilih turun padang memperjuangkan kebebasan Palestin daripada cengkaman rejim Zionis.
“Kita lihat gelombang kebangkitan ini bukan sahaja melibatkan generasi kami, Gen X dan Gen Y, tetapi turut disertai anak muda, generasi Gen Z yang mahu tahu, mahu faham dan mahu turut serta dalam perjuangan membela rakyat Palestin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam program Eksplorasi Rakit Flotilla untuk Palestin di Jeti Kuala Kangsar, di sini pada Sabtu.
Timbalan Presiden Yayasan Amal Malaysia itu berkata, kesedaran tinggi terhadap isu kemanusiaan global dalam kalangan generasi muda menepis tanggapan sesetengah pihak yang memandang remeh misi GSF.

“Itulah kejayaan yang sebenarnya. Kita tidak boleh sangkal apa yang orang nak kata.
“Alhamdulillah, rakyat Malaysia sebenarnya bersama kita, malah sejak berada di atas kapal lagi, kita dapat lihat rakyat Malaysia bersatu berdoa. Itulah solidariti kita bersama,” katanya.
Pada masa sama, beliau berharap gelombang kebangkitan yang bermula di Malaysia dapat memberi tekanan moral kepada dunia supaya terus memperjuangkan hak rakyat Palestin.
Katanya, walaupun pelan damai sedia ada masih berat sebelah, ia sekurang-kurangnya membuka ruang untuk suara rakyat terus kedengaran.
“Kita menunggu bulan November ini apabila Presiden Colombia dijangka membawa usul pengiktirafan negara Palestin di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Amal Malaysia, Datuk Mohd Apandi Mohamad berkata, penganjuran Eksplorasi Rakit Flotilla di Kuala Kangsar menjadi simbol kesinambungan perjuangan kemanusiaan rakyat Malaysia terhadap Palestin.
Menurutnya, sebanyak 40 rakit menyertai pelayaran dari Jeti Jambatan Victoria ke Jeti Kuala Kangsar dengan penyertaan lebih 100 peserta termasuk pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Tambah beliau, menariknya program itu turut disertai pantomim simbolik yang menggambarkan keadaan sebenar di Gaza, termasuk bunyi letupan dan kepungan tentera Zionis bagi membolehkan masyarakat menghayati penderitaan yang dialami rakyat Palestin.
“Letupan-letupan itu bukan sekadar persembahan, tetapi mesej simbolik tentang penderitaan yang sedang berlaku. Kita mahu rakyat faham, bukan sekadar simpati dari jauh,” katanya.
Ringkasan AI
- Generasi muda termasuk Gen Z semakin lantang menyokong Palestin
- Perjuangan ini dipimpin oleh pelbagai generasi termasuk Gen X dan Gen Y
- Kesedaran tinggi generasi muda menepis tanggapan remeh terhadap misi Global Sumud Flotilla
- Eksplorasi Rakit Flotilla di Kuala Kangsar simbol kesinambungan perjuangan Malaysia untuk Palestin
- Pameran pantomim dalam program bagi membolehkan masyarakat menghayati penderitaan Palestin
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

